Home Sukan PSG buru Pogba pula

PSG buru Pogba pula

Paul Pogba.

KUALA LUMPUR – Paris Saint Germain (PSG) terus bernafsu memburu pemain tengah menguatkan lagi pasukan mereka dengan menyasarkan pemain Manchester United, Paul Pogba.

Gergasi Ligue 1 itu yakin akan dapat menarik Pogba selepas kelab itu berjaya meyakinkan Neymar untuk terus kekal.

L’Equipe melaporkan, PSG kini perlu menjual beberapa pemain mereka kerana sudah mendapatkan Georginio Wijnaldum, Sergio Ramos, Gianluigi Donnarumma serta Achraf Hakimi.

Ini untuk mengurangkan bil gaji pemain mereka yang sangat tinggi selepas melanjutkan kontrak Neymar dan dijangka disusuli oleh Kylian Mbappe selepas ini.

Pogba masih belum melanjutkan kontraknya di United yang akan berakhir kira kira setahun lagi.

Sebelum ini pemain tengah antarabangsa Perancis itu dikaitkan dengan kepulangan semula ke Juventus.

Melihatkan keadaan Pogba di United, PSG memasuki persaingan untuk mendapatkan pemain tersebut.

PSG malah sedia untuk membeli pemain itu pada jendela perpindahan kali ini dengan tawaran €50 juta sehingga €60 juta ataupun sekitar £42 hingga £50 juta.

L’Equipe turut mendedahkan bahawa PSG sedia menjual pemain mereka untuk menjana €150 juta.

Nama Mbappe antara yang disebut sebut berada dalam senarai, jika ada kelab mahu menawarkan harga besar kepada mereka.

Selain itu Alphonse Areola, Thilo Kehrer dan Pablo Sarabia antara nama yang memang sudah dibuka untuk bidaan.

Beberapa pemain yang sah akan terus kekal ialah Julian Draxler dan Danilo Pereira yang baru melanjutkan kontrak mereka selain Idrissa Gueye. – MalaysiaGazette