KUALA LUMPUR – Sebanyak 266 kompaun dikeluarkan terhadap kilang-kilang di Selangor sejak bermulanya Operasi (Op) Patuh pada 8 Julai lalu.
Jelas Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, ada kilang yang didapati beroperasi bercanggah daripada surat kebenaran yang diperoleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Selain itu, kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah pekerja kilang tidak memakai pelitup muka dan tidak mendaftarkan kehadiran menerusi aplikasi MySejahtera.
“Bagi memastikan premis-premis terutamanya kawasan perkilangan dan perindustrian mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), kita telah melakukan pemeriksaan ke atas 7,922 premis,” katanya ketika sidang media yang berlangsung secara dalam talian hari ini.
Sementara itu, Arjunaidi berkata, tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor adalah 92 peratus.
Setakat ini, katanya, 1,045 kompaun telah dikeluarkan kepada individu atas kesalahan pelanggaran SOP.
Bagaimanapun lapan peratus di Selangor (yang tidak patuh) masih melibatkan jumlah yang banyak,” ujarnya.-MalaysiaGazette