KUALA LUMPUR – Pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor telah ditetapkan pada 23 Ogos depan sehingga 6 September ini.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk sidang DUN negeri itu dibuka melalui warkah yang diutuskan Al-Sultan Abdullah pada Selasa lalu.
“Kerajaan Selangor menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka dan Sultan Selangor yang sentiasa prihatin terhadap kebebasan amalan demokrasi di negeri ini.
“DUN Selangor akan bersidang selama sembilan hari, iaitu 24 hingga 27 Ogos; 30 Ogos; 1 hingga 3 September; dan 6 September depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, sidang DUN kali ini akan mengikut format sidang biasa yang mempunyai sesi soal jawab serta perbahasan, dan bukan sekadar sidang khas sahaja.
Menurut beliau, sidang itu akan dijalankan dengan kawalan Tatacara Pengendalian Piawai, selain memfokus kepada segala usaha kerajaan negeri dalam menangani penularan Covid-19 dan mendapatkan maklum balas serta cadangan daripada Ahli Dewan.
Langkah itu sejajar dengan dengan peranan bidang legislatif sebagai sistem semak imbang kepada bidang eksekutif.
“Ini juga selaras aspirasi rakyat supaya setiap keputusan kerajaan negeri dibuat secara bertanggungjawab serta berhemah dan pada masa sama, mempertingkatkan usaha mendepani wabak COVID-19 di Selangor,” katanya.
Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan pembukaan sidang DUN Selangor pada tarikh tersebut. – MalaysiaGazette