Home Nasional KSM nafi video pekerja lari dalam operasi penguatkuasaan pekerja asing

KSM nafi video pekerja lari dalam operasi penguatkuasaan pekerja asing

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menafikan terlibat dalam operasi penguatkuasaan pekerja asing di sebuah syarikat pengeluar sarung tangan getah seperti yang tular menerusi rakaman video baru-baru ini.

Menurut kenyataan kementerian itu, video berkenaan dirakam pada September 2020 ketika berlaku kebocoran gas amonia di sebuah kilang memproses ayam di Merlimau, Melaka.

Katanya, ketika kejadian, polis dan bomba cawangan Merlimau yang berada di lokasi mengarahkan para pekerja untuk keluar daripada kilang memandangkan gas tersebut telah mula tersebar melalui udara.

“Keadaan yang dirakamkan merupakan situasi akibat kebocoran gas ammonia dalam kilang tersebut dan bukanlah di premis kilang pengeluar sarung tangan getah,” katanya.

Menurut kementerian itu lagi, salah seorang pekerja yang menyedari ada pihak merakam situasi mereka bergurau dengan menyatakan seolah-olah mereka sedang dikejar penguatkuasa seperti mana pekerja asing tanpa izin (PATI) melarikan diri.

“Kejadian yang dirakam dalam video tersebut juga telah disahkan secara berdokumen oleh pihak polis Merlimau dan pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) cawangan Melaka,” jelas KSM.

Dalam pada itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah mengesahkan menerima laporan berhubung video yang sedang tular tersebut.

Pihak polis tambah KSM, sedang menyiasat perkara berkenaan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).-MalaysiaGazette