BUTTERWORTH – Dua lelaki kerugian RM19,500 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud secara online dalam dua kejadian berasingan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bagi kes pertama, mangsa berusia 48 tahun tersebut tertarik dengan iklan pinjaman wang ketika melayari laman sosial Facebook.
Kata beliau, mangsa dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh beberapa ejen yang mendakwa sebagai pekerja syarikat pinjaman wang berlesen berkenaan susulan mahu membuat pinjaman RM300,000 untuk membeli mesin air batu.
“Mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran secara berperingkat berjumlah RM14,800 ke dalam tujuh akaun berbeza.
“Dia (mangsa) hanya sedar dirinya ditipu selepas nombor talian yang digunakan oleh suspek gagal dihubungi sebelum dia tampil membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian berasingan, Noorzainy berkata, seorang individu berusia 21 tahun kerugian RM4,700 selepas diperdaya sindiket penipuan menggunakan modus operandi sama.
“Mangsa berhasrat meminjam RM90,000 untuk menyelesaikan hutang tertunggak.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan saya ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya degan tipu helah sindiket yang menggunakan keldai akaun untuk kegiatan haram mereka.
“Jangan sesekali mudah percaya dengan iklan di media sosial dan internet”, tegas Noorzainy. – MalaysiaGazette