MELAKA – Polis Melaka menyiasat sebuah syarikat agensi pekerja asing beralamat di Petaling Jaya, Selangor yang didapati membawa masuk 79 pekerja asing ke negeri ini, dan gagal membuat saringan ujian COVID-19.
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata pada 1 Julai lepas kira-kira pukul 8.30 pagi pihaknya menerima laporan terdapat 51 kes positif COVID-19 melibatkan pekerja asing itu di sebuah kilang di kawasan perindustrian Ayer Keroh.
“Hasil siasatan mendapati kesemua mereka dibawa masuk bekerja di kilang itu oleh syarikat berkenaan tanpa menjalani saringan seperti mana peraturan yang telah ditetapkan.
Abdul Majid berkata kes disiasat di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana dengan niat jahat untuk merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa dan juga Peraturan 13 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
Katanya sekiranya didapati bersalah syarikat itu boleh disabitkan di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan di bawah Peraturan 13 (1) PPDPP Pelan Pemulihan Negara 2021 dan boleh dikompaun sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Rakyat ramai mengangur, kenapa dibuka permit untuk kemasukan pekerja warga asing