Home Pendapat Solidariti masyarakat simbolik nilai kemanusiaan

Solidariti masyarakat simbolik nilai kemanusiaan

Antara barang sumbangan yang akan diberi kepada penduduk kawasan sempena Program Bantuan Makanan di Bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di Tanjung Karang. Foto HAFIZ SOHAIMI, 05 JULAI 2021

PANDEMIK Covid-19 yang berlarutan hampir dua tahun ternyata telah mengubah landskap domestik dan antarabangsa. Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan kini disusuli dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) meskipun dari satu sisi dilihat seakan berjaya mengawal wabak ini daripada terus mengganas, namun impak berangkai yang terhasil menyebabkan masyarakat berada dalam situasi yang benar-benar rumit, terhimpit antara keselamatan nyawa dan kestabilan ekonomi.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial mengesahkan telah menerima sebanyak 122,328 panggilan, dengan 89.4 peratus atau 109,806 daripadanya membabitkan masalah psikologi dan kemurungan. Himpitan masalah sosial seperti kehilangan punca pendapatan dan tempat bergantung, serta pertelingkahan rumah dan ahli keluarga, termasuklah penderaan emosi dan fizikal menjadi penyumbang terbesar.

Lebih mengejutkan, kemerosotan emosi dan kesihatan masyarakat susulan masalah Covid-19 ini telah mendorong sebahagian mereka mengambil jalan berisiko dengan membunuh diri. Berdasarkan statistik pihak PDRM, sehingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri telah dilaporkan berlaku di seluruh negara. Situasi ini telah mendorong pelbagai lapisan masyarakat bangkit menyuarakan solidariti terhadap individu yang terkesan dengan pandemik ini. Hasilnya, baru-baru ini telah dilancarkan kempen ‘angkat bendera putih’ sebagai simbolik keupayaan dan keperluan hidup yang terjejas. Kempen ini pantas mendapat dokongan pelbagai pihak yang menyatakan kebersamaan mereka dalam misi kemanusiaan ini.

Meskipun ada yang melihat sisi tersirat bendera putih ini dengan sikap berputus asa dan menyerah kalah, namun dalam konteks semasa ia difahami sebagai  permohonan bantuan bagi meneruskan kelangsungan hidup. Tindakan ini bukanlah sebagai ‘membuka pekung di dada’, sebaliknya alternatif terakhir setelah segala ruang dan peluang yang diteroka menemui jalan buntu. Para sahabat sendiri pernah berusaha menghantar ‘mesej’ kepada Rasulullah SAW mengadu tentang kesusahan dan kelaparan yang dilalui.
Abi Talhah RA menyatakan: Kami mengadu kepada Rasulullah SAW tentang rasa lapar, dan kami mengangkat pakaian kami agar Baginda mengetahuinya, kerana rasa lapar ini kami telah mengikat perut kami dengan satu batu. Rasulullah SAW kemudian mengangkat pakaiannya lalu kelihatan dua batu diikat di perutnya (Riwayat al-Tirmidhi, no. 2400) 

Sepertimana inisiatif sebahagian sahabat mengangkat baju dan memperlihatkan ikatan batu di perut bagi memohon bantuan, tindakan mengibar bendera putih juga dilihat berkongsi mesej kemanusiaan yang sama. Pihak masyarakat seharusnya berperanan sebagai tulang belakang yang mendokong mereka dengan bantuan dan sokongan yang bersesuaian. Jika tekanan berpunca daripada desakan hidup, bantuan kewangan, makanan dan keperluan asas wajar dihulurkan. Jika tekanan daripada ketidakstabilan
emosi, maka nasihat, bimbingan dan sokongan teguh perlu diberikan. Sokongan psikososial masyarakat sangat penting buat masa ini dalam mewujudkan persekitaran yang selamat dan sejahtera.

Secara zahirnya, sebahagian besar individu yang terkesan hanya mampu memendam rasa dan menanggung sendiri kesusahan yang dilalui meskipun pada realitinya ramai daripada mereka yang sedang tertekan memikirkan hutang yang tertunggak, sewa rumah tertangguh, sumber pendapatan terjejas, serta keperluan asas yang tergendala. Islam mengajarkan kepada kita manifestasi keprihatinan dan kecaknaan yang tinggi menerusi nilai kebajikan dan kebersamaan sosial masyarakat. “(Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak.” (Surah al-
Baqarah, ayat 273)

Ekosistem kejiranan yang proaktif turut memainkan peranan penting bagi memacu keharmonian masyarakat setempat. Atas dasar itulah, Rasulullah SAW mengingatkan kita:
Tidak termasuk orang yang beriman, mereka yang kenyang sedangkan jiran tetangganya
kelaparan. (Riwayat al-Tabrani, no: 12579) Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu mempamerkan nilai integriti yang tinggi bagi memastikan bantuan ini disalurkan kepada pihak yang benar-benar memerlukan. Ini sebagaimana pesan Rasulullah SAW kepada Qabishah bin Mukhariq, bahawa perbuatan meminta-minta itu tidak digalakkan kecuali dalam tiga situasi, iaitu penanggung hutang sehingga hutangnya dilunaskan,
mereka yang ditimpa musibah dan kemusnahan harta sehingga keperluan asasnya dicukupkan, serta orang yang ditimpa kemiskinan, bagi menampung kehidupannya

Bagi mereka yang menghulurkan bantuan pula, sewajarnya berusaha menahan diri daripada menjadikan penerima bantuan sebagai modal pelaris media sosial. Identiti setiap penerima perlu kekal terjamin kerahsiaannya melainkan dalam keadaan yang dirasakan benar-benar perlu. Ini bertujuan memelihara maruah dan kehormatan mereka meskipun dalam situasi mendesak ini. Tuntasnya, usahlah lagi kita hanya sekadar menunggu, sebaliknya turunlah ke lapangan menyantuni mereka yang benar-benar terkesan ini. Slogan ‘Kita Jaga Kita’ dan ‘Menang Bersama’ bukan lagi sekadar indah meniti di bibir dan menghiasi media sosial semata, sebaliknya perlu diterjemahkan secara realiti sebagai pemangkin sistem sokongan yang kukuh dalam mengharungi detik-detik sukar ini.

Oleh: Dr Khairul Azhar Meerangani
Pensyarah Kanan
Akademi Komtemporari Pengajian Islam
Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka