KUALA LUMPUR – Beberapa laluan utama di Nilai yang bersempadan dengan daerah Jelebu, Port Dickson serta Kajang, Selangor ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Seremban bermula 9 Julai.
Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai terdiri daripada empat mukim iaitu Labu, Lenggeng, Pantai dan Setul.
“Polis bersama Jawatankuasa Bencana Daerah Seremban bersetuju menutup beberapa laluan utama dengan melakukan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan daerah dan negeri serta mempertingkatkan Operasi Patuh (Op Patuh) di kawasan PKPD,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PKPD di seluruh Seremban bermula semalam hingga 22 Julai. – MalaysiaGazette