KUALA LUMPUR – Kunjungan Datuk Seri Rina Harun bagai sinar buat Fendy Caliph Buskers dan anak perempuannya, Nur Azalea Zafirah, 6 selepas dia dijanjikan sebuah rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak lama lagi.
Fendy dan anaknya, kedua-duanya hilang penglihatan.
Kehidupan dua beranak itu bagai jatuh timpa tangga selepas Fendy kehilangan punca pendapatan akibat Covid-19 lebih setahun lalu.
Bagi meneruskan kelangsungan hidup, Fendy terpaksa menggunakan simpanannya untuk menjalani kehidupan harian dan membayar sewa rumah RM1,300 setiap bulan.
“Ada satu masa saya kehabisan simpanan dan terpaksa menjual set drum elektronik saya yang menjadi punca pencarian rezeki,” keluh Fendy atau nama sebenar Fendy Adlun yang tinggal di sebuah kondominium di Taman Datuk Senu, Sentul di sini.
Fendy menyangkan pandemik Covid-19 tidak lama namun sangkaannya meleset sama sekali.
Katanya, demi meneruskan hidup, dia menjual dua set drum elektrik yang berharga RM4,500 dijual sebanyak RM2,500 dan RM1,000 sahaja sebab terdesak.
“Saya gunakan wang tersebut untuk bayaran tadika anak dan kos pengangkutan pergi balik ke Kajang – tempat Caliph Buskers berkumpul untuk rakaman Video Live dalam Facebook setiap Sabtu 9 malam,” ujarnya.
Fendy memberitahu, dia mahu memohon Jabatan Kebajikan Masyarakat namun disebabkan PKP permohonan dalam talian telah ditutup, memaksa saya menjual apa yang ada.
Katanya, memandangkan kadar sewa rumahnya yang mahal, beliau memohon untuk mendapatkan rumah mampu milik DBKL yang berhampiran sistem pengangkutan tren bagi menjimatkan kewangan untuk diri dan anaknya.
“Saya terkedu apabila menteri sendiri akan mengendalikan masalah saya dan dapatkan rumah mampu milik.
”Saya terkedu dan gembira. Saya memang memerlukan rumah yang kadar sewa rendah mengelak beban kewangan semasa PKP ini,” ujarnya yang memaklumkan pernah memohon rumah DBKL tetapi ditolak kerana status bapa tunggal. – MalaysiaGazette