Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata polis pada mulanya menerima laporan daripada Hospital Serian mengenai seorang gadis mengandung yang dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan pada kira-kira pukul 2.30 petang.
Beliau berkata hasil temu bual awal, gadis itu mendedahkan bahawa dia telah dirogol oleh empat orang lelaki iaitu bapa, datuk dan dua bapa saudara sejak dia berumur 13 tahun, manakala adiknya yang kini berumur 14 tahun turut menjadi mangsa mereka.
“Wanita itu juga mendedahkan bahawa adiknya turut dirogol sejak berumur sembilan tahun. Kesemua insiden ini dikatakan berlaku di rumah mereka di Kampung Daha Seroban, Serian,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menurutnya susulan siasatan awal, polis menahan empat suspek berumur antara 26 dan 57 tahun di Kampung Daha Seroban, Serian pada kira-kira pukul 3.30 petang.
Dev berkata suspek yang merupakan bapa kandung, datuk dan bapa saudara gadis itu tinggal serumah, dan semua mereka bekerja sebagai petani.
Gadis dan adiknya itu tidak bersekolah.
“Kes disiasat di bawah seksyen 376B, iaitu sumbang mahram. Kesemua empat suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Serian pagi esok untuk permohonan reman,”katanya.
— BERNAMA