KUALA LUMPUR – Pemain tengah Kelantan FC, Syed Sobri Syed Mohd. mahu menjadikan kelab baharunya itu sebagai medan terbaik membina kembali karier selepas bergelut mencari pasukan pada awal musim ini.
Bekas pemain UKM FC itu mengakui hampir berputus asa selepas gagal untuk menarik minat mana-mana pasukan untuk disertainya pada musim ini sehinggalah berpeluang untuk kembali ke Liga Malaysia selepas ditawarkan beraksi bersama Kelantan.
Baginya, ini merupakan satu peluang yang tidak boleh disia-siakan dan perlu bekerja keras untuk memastikan dia mampu mendapatkan minit permainan yang lebih lama sekali gus membantu pasukan untuk sekurang-kurangnya meraih kedudukan lima terbaik Liga Premier.
Apatah lagi, Syed menegaskan sepanjang dia berehat pada awal musim ini, dia tidak pernah mengabaikan tahap kecergasan diri dan percaya mampu untuk memberikan sesuatu kepada kelab pada musim ini.
“Nak cari kelab baharu pada musim ini memang agak sukar dan saya akhirnya hampir berputus asa untuk beraksi lagi dalam kancah bola sepak.
“Tetapi, saya bersyukur apabila diberi peluang untuk bersama Kelantan dan saya akan pastikan kehadiran saya mampu beri impak positif kepada pasukan ini.
“Sasaran kelab adalah kedudukan lima teratas liga, tetapi sebagai pemain, tidak salah untuk saya cuba sama-sama bantu pasukan agar layak ke Liga Super dan ia tidak mustahil.
“Apa-apa pun, saya harap saya dapat bina balik karier dan nama di sini kerana saya sedar persaingan semakin sengit untuk mendapat tempat dalam mana-mana pasukan,” jelasnya.
Syed yang juga pernah beraksi bersama Melaka United pada musim 2017 sempat menjaringkan dua gol ketika bersama UKM FC pada 2019 di Liga Premier dan Challenge Cup.
Jelasnya, keserasian bersama pasukan baharu ketika ini semakin menunjukkan peningkatan tetapi mengakui bukan mudah untuk menambat hati pengendali, Marco Ragini.
Namun, dia berharap peluang dapat diberikan kepadanya untuk turun beraksi dalam perlawanan tertunda menentang Perak FC II pada 17 Julai ini.
“Keserasian semakin bertambah baik dengan pemain-pemain di sini, jadi saya rasa tiada masalah untuk saya memberi fokus yang terbaik bersama pasukan.
“Cuma, untuk berada dalam kesebelasan utama memang bukan mudah dan pemain-pemain muda yang ada di sini semuanya cukup berpotensi. Jadi, memang tidak boleh ambil mudah dan saya suka persaingan secara sihat di sini untuk merebut tempat”, katanya.
Kelantan FC kini menduduki tangga ketujuh Liga Premier dengan 14 mata setakat ini. – MalaysiaGazette