EMIRIAH ARAB BERSATU – Negara Arab buat pertama kalinya berjaya melahirkan seorang angkasawati apabila memperkenalkan Nora Al Matrooshi sebagai salah seorang anggota program angkasa lepasnya.
Dia telah diperkenalkan bersama seorang lagi angkasawan bernama Mohammad Al Mulla.
Memetik laporan, kedua-dua mereka telah memulakan latihan dalaman yang berlangsung sehingga Disember ini selepas menyertai Kelas Calon Angkasawan NASA 2021.
Nora menjelaskan, dia sudah memasang cita-cita untuk menjadi seorang angkasawan sejak kecil justeru itu dia nekad menyertai program tersebut.
“Motivasi saya di sebalik pendaftaran ke program angkasa lepas Emiriah Arab Bersatu adalah kerana ia merupakan impian saya sewaktu kecil dan keinginan saya untuk menjadi seorang angkasawati,” ujarnya.
Selain itu, wanita berusia 28 tahun berkenaan turut mendedahkan ahli keluarga serta negaranya memberi sokongan padu buat dirinya untuk mencapai cita-cita tersebut.
Untuk rekod, Nora memiliki latar belakang sebagai seorang lulusan kejuruteraan mekanikal dan kini sedang bekerja di Syarikat Pembinaan Petroleum Nasional Abu Dhabi. – MalaysiaGazette