Home Ekonomi Arab mahu kurangkan lagi bekalan minyak

Arab mahu kurangkan lagi bekalan minyak

RIYADH – Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid Al-Falih tidak menolak kemungkinan mengurangkan lagi pengeluaran minyak tetapi menekankan bahawa tidak akan mengambil tindakan unilateral, menurut akhbar Al Sharq Al Awsat.

Prospek pengurangan pengeluaran sudah ada, jika tindakan selanjutnya diperlukan, sama ada untuk memperluas atau mengubah tahap pengeluaran, ia akan dikaji pada tepat waktunya dan dipersetujui oleh semua pengeluar.

Falih telah bertemu Menteri Minyak Iraq, Jabbar Al-Luaibi pada Khamis lalu dan bersetuju untuk mengukuhkan komitmen terhadap pengurangan pengeluaran selepas OPEC dilaporkan meningkatkan output secara kolektif pada bulan lalu ketika perjanjian mengurangkan bekalan sudah dimeterai.

Falih berkata, perbincangan dengan Iraq menekankan keperluan untuk memperkukuhkan komitmen terhadap perjanjian yang diketuai oleh OPEC untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah.

“Rundingan itu bertujuan untuk memastikan kestabilan pasaran minyak dunia dan mengukuhkan keuntungan yang diperoleh dalam tempoh baru-baru ini,” kata Falih dalam satu kenyataan.

Perbincangan tersebut fokus terhadap keperluan untuk menggesa semua pihak mengukuhkan komitmen terhadap perjanjian pengurangan pengeluaran bagi mengekalkan keseimbangan pasaran tenaga global. – MalaysiaGazette