Home Nasional Seludup rokok bernilai RM1.09 juta atas nama kargo am elak dikesan

Seludup rokok bernilai RM1.09 juta atas nama kargo am elak dikesan

Sebuah kontena yang memiliki muatan rokok putih seludup bernilai RM1.09 juta berjaya disita dalam serbuan di Pelabuhan Barat Pelabuhan Klang 16 Jun lalu.- Gambar Ihsan Jabatan Kastam.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malasysia (JKDM) berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok tidak bercukai dengan merampas sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

Serbuan dan rampasan itu dilaksanakan Kastam Zon Tengah Unit III (LTA Kuala Lumpur) pukul 6.30 petang pada 16 Jun lalu selepas bertindak atas maklumat awam dan risikan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, selepas menyita kontena itu, hasil pemeriksaan di dalamnya berjaya menemui muatan 10,900,000 batang rokok putih.

“Nilai rampasan rokok putih berkenaan adalah dianggarkan bernilai RM1,090,000 yang melibatkan cukai sebanyak RM7,303,000,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Zazuli, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi membuat pengikraran tidak benar terhadap pengimportan rokok dengan mengikrar dagangan sebagai kargo am bertujuan mengelak daripada permit import dan bagi mengelak dikenakan duti cukai yang tinggi.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut pasukan penguat kuasa mendapati kesemua rokok yang disita adalah diimport dari luar negara tanpa permit import yang sah dan tanpa membayar cukai dan duti import.

Rokok berkenaan diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 66, Jadual Ketiga, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang mana pengimportan rokok memerlukan Permit Import yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam.

Perbuatan mengimport rokok tanpa Permit Import merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000, atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

“Manakala jika sabit kesalahan di bawah Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.-MalaysiaGazette