Home Seni Hidup Pesanan Rosyam Nor kepada Nabil ringkas namun memberi kesan

Pesanan Rosyam Nor kepada Nabil ringkas namun memberi kesan

KUALA LUMPUR – Mahu terus kekal dalam industri seni tanah air, bukan bergantung dengan bakat semata-mata, namun sebaliknya pesanan Datuk Rosyam Nor mengejutkan pelawak popular, Nabil Ahmad.

Kata Nabil, dengan ringkasnya pelakon ternama itu memberitahunya dengan membayar zakat maka rezeki dan peluang untuk terus berkarya dan mencari rezeki akan sentiasa ada dalam industri itu.

Bermula hari itu, Nabil atau Ahmad Nabil Ahmad membayar berzakat.

Katanya, dengan berzakat kehidupannya sejak 2012 tidak pernah putus rezeki sehingga hari ini.

Malah pengacara Meletop itu mengakui kehidupannya lebih tenang dan terarah.

“Bermula hari itu, saya tahu kepentingan zakat tapi masa itu niat untuk berjaya tidak mahu Allah takat ini je nak Allah bagi terus tapi lama kelamaan kita dapat rasa makmur dan ketenangan, yang duit tidak boleh beli.

“Orang boleh beli rumah besar tapi ketenangan hati tidak ada orang boleh beli. Keyakinan saya terhadap zakat sangat tinggi sebab saya masuk ke industri ini sebab sedekah,” katanya.

Beliau berkata demikian, sebagai artis jemputan pada Majlis Pelancaran Skim Potongan Zakat Bulanan Pautan (Skim PZB) Pelancaran oleh Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerusi dalam talian hari ini.

Mengulas lanjut Pendakwah, Datuk Dr Norhafizah Musa berkata, membayar zakat bukan sahaja membersihkan pendapatan malah dalam masa yang sama akan memakmurkan kehidupan umat Islam.

Meskipun potongan zakat setiap bulan hanya 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan namun katanya, kesannya amat besar.

“Setiap kali memberi zakat rezeki saya rasa murni, selalu terdetik dalam hati makmur kehidupan rezeki ni luas. Subhanallah bila saya kira balik sepatutnya 2.5 peratus memang Allah gandakan rezeki, 10 kali ganda dan berganda-ganda ini satu perkongsian mengajak semua segera buat baik,” menurutnya.

Justeru Norhafizah menyeru semua umat Islam yang bekerja dalam sektor swasta dan awam untuk menyertai Skim PZB yang berlangsung selama enam bulan ini. – MalaysiaGazette