Home Sukan SOP ketat KLIA jamin keselamatan, kesihatan atlet ke Tokyo

SOP ketat KLIA jamin keselamatan, kesihatan atlet ke Tokyo

Reezal Merican bersama CEO Kumpulan MAG meninjau persiapan SOP keselamatan dan protokol Covid-19 di KLIA menjelang kontinjen Malaysia yang akan berlepas ke Tokyo 17 Julai ini untuk beraksi dalam Olimpik Tokyo 23 Julai nanti

KUALA LUMPUR – Segala protokol keselamatan Covid-19 yang diatur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berada dalam keadaan terbaik bagi menjamin keselamatan dan kesihatan atlet Malaysia yang akan berlepas ke Jepun 17 Julai ini untuk menyertai Sukan Olimpik.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, persediaan yang dilakukan oleh pihaknya dengan kerjasama Malaysia Aviation Group (MAG) dan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya, langkah itu merupakan kesinambungan SOP gelembung sukan yang sedang dihadapi para atlet Olimpik Malaysia yang menyertai temasya sukan itu pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

“Saya melakukan tinjauan dan telah diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG Kapten Izham Ismail mengenai persiapan di KLIA dari aspek garis panduan keselamatan, protokol SOP ketat sehingga ke pesawat yang akan menerbangkan atlet kita ke Tokyo dan ia langkah amat baik dan meyakinkan untuk mengekang sebarang potensi jangkitan penularan Covid-19.

“SOP ketat dari tempat duduk atlet di ruang menunggu iaitu waiting lounge hingga ke boarding serta tandas di dalam kabin pesawat termasuk penggunaan tandas sangat tersusun dan penuh bersistematik daripada MAG dan MAHB dengan kerjasama Imigresen dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menjamin keselamatan dan kesihatan atlet kita sepanjang perjalanan ke Tokyo pada 17 Julai ini dari KLIA,” katanya dalam video lawatan beliau di KLIA hari ini.

Reezal Merican meninjau kabin pesawat dari aspek protokol SOP Covid-19 bagi menjamin keselamatan dan kesihatan atlet yang akan berlepas 17 Julai ini ke Olimpik Tokyo menerusi KLIA.

Tambahnya, proses SOP ketat itu juga akan memberi keyakinan kepada penumpang lain ke Malaysia.

Sementara itu, Reezal Merican mencadangkan organisasi atau sektor lain berkunjung ke KLIA bagi melihat pengaplikasian SOP di lapangan terbang itu. – MalaysiaGazette