Home Politik Pejuang nafi kerjasama dengan Bersatu

Pejuang nafi kerjasama dengan Bersatu

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu kembali menjalankan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata, dakwaan itu satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan merupakan berita tidak benar.

“Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Pejuang telah berkali-kali dengan tegas menolak dakwaan ini.

“Biro Politik Pejuang juga tidak pernah berbincang mengenai kerjasama ini dan fokus kepada perbincangan menangani Covid-19 dalam kerangka Majlis Pemulihan Negara yang dicadang oleh Parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu keluar selepas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim gembira dengan berita ada  ‘perbincangan’ di antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr. Mahathir, baru-baru ini.

Rais berkata tidak menjadi kesalahan jika terdapat perbincangan antara kedua-dua mereka kerana ini dilihat akan menyatukan parti-parti Melayu yang sudah terpecah.

“Berita-berita Tun M bincang-bincang dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin kalau betul pun, apa salah?

“Mereka kan pembikin (pengasas) Bersatu? Kalau tambah dengan Presiden Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) lebih baik. Bersatu kita. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Saya paling suka,” katanya menerusi satu ciapan di Twitternya, semalam.

Bagaimanapun, Rais tidak memperincikan bila pertemuan itu dibuat kedua-dua pihak.

Ketua Penerangan Pejuang Ulya Aqamah Husamudin
Ketua Penerangan Pejuang Ulya Aqamah Husamudin

Mengulas lanjut, Ulya Aqamah berkata, sekiranya dakwaan itu benar, maka Pejuang tidak perlu bersusah payah naik turun mahkamah bagi memastikan parti itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Tiada perbincangan belakang atau pencaturan politik, keputusan ini adalah hasil keputusan Mahkamah.

“Sekali lagi dengan tegas, Pejuang menyatakan pendirian bahawa dakwaan kerjasama antara Pejuang dan Bersatu adalah tidak benar,” katanya lagi.

Sebelum ini tular satu tangkap layar di media sosial bahawa Pejuang telah menyerahkan permohonan untuk menyertai Perikatan Nasional yang dibuat semalam.

Malah dalam tangkap layar itu, Mahathir didakwa akan dilantik sebagai penasihat PN.

“Parti Pejuang akan bertanding 70 kerusi Parlimen dan Pas 20 kerusi, dan Bersatu sebanyak 70 kerusi dna Parti Gerakan 50 kerusi Parlimen dan lain yang selebihnya,” tulis dalam tangkap payar berkenaan.

Mesej itu didakwa ditulis Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. – MalaysiaGazette