KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersetuju mengurangkan yuran konvokesyen bagi sesi – 93, 94 dan 95 sebanyak RM40 yang dikenakan kepada para graduan bagi semua peringkat pengajian ijazah dan diploma.
Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol UiTM Nora Noordin dalam kenyataan hari ini berkata, pengurangan bagi semua graduan sesi konvokesyen tersebut sebanyak RM3 juta itu dibuat untuk mengurangkan beban kewangan yang perlu dibayar oleh para graduan.
“Pengurangan yuran konvokesyen tersebut diberi secara automatik kepada semua peringkat pengajian ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana, diploma lepasan ijazah, ijazah sarjana muda, program profesional dan diploma,” katanya.
Beliau berkata Pengurusan Tertinggi UiTM juga telah memutuskan bahawa sama ada istiadat konvokesyen secara fizikal boleh dilaksanakan atau tidak pada tahun ini adalah tertakluk kepada keadaan semasa.
“Justeru, keputusan muktamad mengenai kaedah konvokesyen yang dijalankan hanya akan diumumkan pada masa yang lebih sesuai dan suasana mengizinkan,” katanya.