LONDON – Pemilk Chelsea dilaporkan telah mengeluarkan sejumlah dana yang besar untuk the Blues bagi mendapatkan bintang muda prolifik Borussia Dortmund, Erling Haaland musim ini.
Kelab Bundesliga itu menetapkan klausa pelepasan berjumlah £150 juta untuk mana-mana kelab Eropah yang mahu mendapatkan khidmat bintang berusia 20 tahun itu.
Kelab Liga Perdana Inggeris kendalian Thomas Tuchel antara tiga kelab elit Eropah iaitu Manchester City dan Real Madrid yang dilaporkan mengintai rapat perkembangan pemain itu.
Haaland setakat ini menjaringkan 41 gol dalam 41 perlawanan musim lalu untuk kelab Bundesliga Jerman itu.
Kini perkhabaran mendakwa Haaland juga berpotensi mengikut jejak langkah rakan sepasukannya Jadon Sancho yang akan melengkapkan perpindahan ke Old Trafford dalam sehari dua lagi dengan nilai £73 juta.
Laporan di Stamford Bridge mendakwa Abramovich telah melepaskan sejumlah dana besar kepada Chelsea untuk mendapatkan Haaland musim ini.
Bagaimanapun sebelum itu kelab itu dikehendaki melepaskan beberapa pemain pasukan pertamanya untuk memastikan usaha itu direalisasikan.
Callum Hudson-Odoi, Tammy Abraham dan Hakim Ziyech tiga pemain yang berdepan penyingkiran dari kelab itu andai kata Chelsea memuktamadkan khidmat Haaland.
Chelsea yakin mampu mengumpul dana sekitar £90 juta menerusi penjualan tiga pemain itu untuk menampung bidaan untuk Haaland.
Dalam pada itu, Olivier Giroud disebut sebagai seorang lagi pemain Chelsea yang dijangka meninggalkan Stamford Bridge pada musim ini.
Minggu lalu laporan di Itali mendakwa pemain kelahiran Perancis itu akan menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab Serie A, AC Milan dan segala peranjian bakal dimuktamadkan hujung minggu ini. – MalaysiaGazette