Home Pendapat Integrasi teras pendidikan berkualiti

Integrasi teras pendidikan berkualiti

Nur Ain Fatihah Mohd Arshad melakukan ulangkaji pelajaran menerusi DidikTv yang merupakan saluran khusus TV Pendidikan diwujudkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membantu pelajar mengikuti PdPR.

PARADIGMA falsafah Islam menekankan konsep ‘teo-anthropocentric’, iaitu kombinasi orientasi ketuhanan dan kemanusiaan. Ia mengajarkan tatacara hubungan manusia dengan Tuhan, sesama manusia serta interaksi dengan alam. Dalam erti kata lain, setiap bentuk hubungan ini saling berkait dan mempengaruhi satu sama lain. Tuntasnya, skala ketaatan dan kepatuhan terhadap perintah Tuhan turut merangkumi pola perlakuan sesama manusia, sama ada positif atau negatif.

Proses pendidikan tidak terkecuali daripada konsep ini, sebagaimana yang dirumuskan dalam Resolusi Persidangan Pendidikan Islam Sedunia Ke-2 (1980) di Islamad: “Education should aim at the balanced growth of total personality of man through the training
of man’s spirit, intellectual, the rational feeling and bodily sense. Education therefore cater for the growth of man in all its aspect, spiritual, intellectual, imaginative, physical, scientific, linguistic both individually and collectively, and motivate all these aspect toward goodness and attainment at perfection. The ultimate aim of education lies in the realization of complete submission for Allah on the level individual, the community and humanity at large”. 

Atas dasar itulah, Islam menganjurkan nilai ihsan sebagai pemacu pendidikan berkualiti. Ihsan dirujuk sebagai kebaikan, kebajikan, perbuatan dan kemurahan hati. Ia dimanifestasikan menerusi kebaikan kepada makhluk lainnya, baik melalui tenaga, harta, kehormatan, ilmu, mahupun kepakaran. Dari sisi lain, ihsan turut bermaksud kesedaran seseorang bahawa Allah sentiasa hadir dan mengawasi segala gerak-gerinya setiap masa. Kesedaran inilah yang akhirnya membawa kepada prinsip integriti dalam menjalankan sesuatu tugasan dengan penuh rasa kebertanggungjawaban.

Menurut al-Raghib al-Isfahani, ihsan diterjemahkan menerusi penguasaan sesuatu pengetahuan dengan baik, atau pelaksanaan sesuatu tugasan dengan sempurna. Dalam konteks yang lain, ihsan juga menggambarkan pemberian dan perkongsian sesuatu nikmat dan kebaikan dalam skala yang besar kepada seseorang melebihi daripada apa yang layak diterimanya, meskipun kadang-kala sehingga terpaksa mengurangi hak si pemberi sendiri.

Pandemik COVID-19 yang berlarutan hampir dua tahun telah mengubah sebahagian besar pola kehidupan masyarakat. Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), disusuli Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini dijadikan alternatif utama bagi membendung penularan pandemik ini dalam khalayak. Selain mendatangkan impak yang serius terhadap kesinambungan kehidupan harian, dari satu sisi yang lain, keadaan ini turut menyumbang kepada perubahan norma baharu, seperti penggunaan media sosial dan aplikasi atas talian bagi pelbagai tujuan dan keperluan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan peningkatan permintaan terhadap jalur lebar secara mendadak sejak pelaksanaan PKP kerana aktiviti perniagaan, pembelajaran, persidangan, mesyuarat dan sebagainya dijalankan dari rumah. Sektor pendidikan antara yang sangat terkesan dengan penguatkuasaan norma baharu ini.

Penutupan sekolah dan institusi pengajian tinggi menyaksikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berjalan secara atas talian, atau Open Distance Learning (ODL). Ledakan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sememangnya telah banyak memudahkan aktiviti kehidupan masyarakat. Dalam aspek pendidikan sebagai contoh, aktiviti P&P mampu dijalankan secara informatif dan interaktif, menerusi penggunaan pelbagai platform dan aplikasi digital seperti Google Meet, Zoom, Kahoot, Quizizz dan Mentimeter. Meskipun begitu, tidak semua pelajar mampu mengikuti seterusnya memanfaatkan pendekatan ini dengan berkesan. Sebahagiannya kelihatan terjejas dek faktor lokaliti, kewangan dan capaian internet yang kurang memberangsangkan.

Situasi ini secara tidak langsung dilihat mempengaruhi tahap kesihatan mental dan kesejahteraan emosi para pelajar. Sebahagian mereka terdedah kepada gejala tekanan dan kemurungan, terutamanya yang berjauhan dengan keluarga dan kenalan rapat. Masalah ini tidak boleh dipandang ringan, memandangkan para pelajar di pelbagai peringkat ini merupakan aset berharga negara di masa hadapan. Tindakan proaktif perlu segera direncanakan bagi memastikan para pelajar ini mendapat pembelaan dan penyelesaian sewajarnya.

Proses ODL yang sedang berjalan, dan dijangkakan berlarutan sehingga penghujung tahun ini memerlukan setiap pihak mengambil pendekatan ‘win-win situation’, baik terhadap pelajar mahupun para pendidik dalam kalangan guru dan pensyarah.
Dalam konteks ODL yang sedang dilaksanakan pada masa kini, nilai ihsan ini boleh direalisasikan menerusi beberapa pendekatan. Pertama, setiap pihak perlu berusaha mengawal emosi negatif dan perasaan marah sepanjang menjalani sesi ODL.

Benar, majoriti masyarakat sedang berhadapan  dengan situasi sukar dan getir buat masa ini. Namun, para pelajar dan guru perlu saling memahami kekangan semasa yang sedang dilalui. Justeru, sentiasa berlapang dada dan berusaha memaafkan kesilapan dan keterlanjuran yang boleh ditoleransikan. Usahlah terlalu bersikap rigid dengan peraturan sedia ada, sebaliknya bertolak ansurlah dalam aspek pelaksanaan selagi mana tidak
menjejaskan matlamat pembelajaran itu sendiri.

(iaitu) orang-orang yang mendermakan (hartanya), pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahahannya, dan orang-orang yang memaafkan (kesalahan) orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik (Surah Ali ‘Imran, ayat 134). Kedua, berusaha menerapkan minda dan emosi positif dalam interaksi. Adakalanya, para guru mungkin berasa terkilan dan terkesan dengan respons hambar daripada sebahagian pelajar.

Namun, itu bukanlah alasan untuk menghamburkan kata-kata negatif dan kasar kepada mereka. Sebagai pihak yang lebih matang, pendekatan yang lebih pragmatik perlu diusahakan mengikut kemampuan dan kapasiti yang serba terbatas. Dari sisi lain, para pelajar pula sebagai seorang penuntut ilmu sepatutnya mempunyai sangka baik dan memahami keadaan para guru, lebih-lebih lagi yang sudah bekeluarga.

Hindari perbuatan mengumpat dan memprovokasi guru-guru yang kurang digemari,
kerana keberkatan ilmu itu diperoleh menerusi pemeliharaan adab yang baik dengan mereka. Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (Surah Fussilat, ayat 34).

Terakhir, menerapkan integriti yang tinggi sepanjang proses pelaksanaan ODL, baik di pihak guru mahupun pelajar. Menurut al-Ghazali, nilai ihsan juga diikat dengan prinsip muraqabah (self-regulation), sama ada sebelum atau semasa sesuatu perbuatan dilakukan. Prinsip muraqabah inilah yang akan menghadirkan keikhlasan hati serta kesempurnaan adab yang melindungi diri daripada segala kerosakan. Para pelajar dan guru perlu sentiasa fokus dengan amanah diberikan, meskipun tanpa sebarang pengawasan daripada pihak bertanggungjawab. Yakinlah bahawa segala tindak
tanduk kita sentiasa diperhatikan Allah yang Maha Kuasa. Rasulullah SAW menyatakan:
Ihsan itu, kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihatNya; maka jika kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihatmu (Riwayat Muslim).

Proses ODL yang dilalui oleh pelbagai pihak ketika ini menjadi antara norma baharu yang perlu dilaksanakan secara berkesan. Komitmen jitu pelbagai pihak ditagih bagi memastikan matlamat pelaksanaannya berjaya direalisasikan dengan berkesan. Dalam masa yang sama, aspek integriti sebagai teras pendidikan berkualiti perlu sentiasa menjadi perhatian dan agenda utama. Pendidikan sebagai antara teras penting pembangunan dan kemajuan sesebuah negara perlu dijadikan agenda utama, sekaligus mewujudkan ekosistem intelektual yang sejahtera dan berkualiti.

Dr Khairul Azhar Meerangani
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari
Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka