Home Nasional Modifikasi ‘T-Fork’ amat berisiko – MIROS

Modifikasi ‘T-Fork’ amat berisiko – MIROS

KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) memandang serius akan kejadian ini dan isu pengubahsuaian motosikal yang tidak menepati piawaian asal motosikal.

Oleh itu, semua pengguna motosikal disarankan untuk tidak melakukan sebarang pengubahsuaian komponen motosikal dan sentiasa melakukan penyelenggaraan motosikal agar motosikal sentiasa berada dalam kondisi yang baik dan selamat digunakan di atas jalan raya.

MIROS berkata, pihaknya mengambil satu nahas jalan raya yang melibatkan motosikal dan telah mengakibatkan kematian seorang wanita pada hari Jumaat, 9 Julai 2021 di Bera, Pahang.

Hasil siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan nahas tersebut berlaku apabila komponen “sepit udang” berbentuk T (T-Fork) di hadapan motosikal mangsa dipercayai patah secara tiba-tiba yang menyebabkan mangsa hilang kawalan dan seterusnya terbabas di bahu jalan.

Siasatan tersebut turut mendapati bahawa pengubahsuaian pada bahagian T-Fork motosikal berkenaan telah dilakukan, di mana bahagian asal tersebut telah ditukar ganti kepada jenis yang tidak menepati piawaian asal.

T-Fork berfungsi sebagai penyambung di antara sepit udang motosikal dan batang pemegang motosikal (handle bar).

Modifikasi terhadap T-Fork adalah amat berisiko kerana bahagian ini memerlukan ketahanan yang tinggi dan kebanyakan alat ganti yang dijual di pasaran tidak mempunyai persijilan yang sah dan berkemungkinan tinggi tidak menepati piawaian.

Ini menyebabkan daya ketahanan alat ganti tidak asli secara amnya adalah meragukan dan mungkin membahayakan pengguna yang membelinya.

Agensi ini menambah, nahas jalan raya melibatkan motosikal merupakan nahas tertinggi di Malaysia berbanding kenderaan lain.

Antara faktor yang menyumbang kepada nahas motosikal adalah pengubahsuaian yang tidak menepati piawaian asal kenderaan tersebut, seperti kes yang berlaku baru-baru ini melibatkan bahagian T-Fork.

Hasil analisa MIROS menunjukkan statistik kemalangan sendiri melibatkan motosikal adalah sebanyak 25 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan motosikal di Malaysia.

Ketua Pengarah MIROS, Ir. Ts. Dr. Khairil Anwar Abu Kassim berkata, motosikal merupakan antara mod pengangkutan utama yang digunakan untuk mencari rezeki dan tidak sepatutnya digunakan untuk tujuan lain yang mendatangkan risiko kepada penunggang.

MIROS tidak menyokong aktiviti pengubahsuaian motosikal seperti menukar sepit udang, saiz tayar motosikal yang tidak sesuai, ekzos motosikal dan tidak memasang brek belakang motosikal.

Sebarang pengubahsuaian yang dilakukan bagi tujuan berlumba, perhiasan (penambahan aksesori) atau lain-lain tujuan yang melanggar undang-undang jalan raya di Malaysia, serta penggunaan komponen motosikal yang tidak menepati piawaian boleh memudaratkan penunggang serta pengguna jalan raya yang lain. – MalaysiaGazette