GEORGE TOWN – Seramai enam anggota polis pangkat rendah di Kontinjen Pulau Pinang terlibat dalam kegiatan rasuah, pemerasan dan dadah.
Mereka yang terlibat membabitkan empat anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan dua dari IPD Seberang Perai Selatan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, enam anggota itu terdiri daripda pangkat Lans Koperal dan Koperal yang berusia lingkungan 30-an.
Jelas beliau, tiga anggota terlibat dalam kes rasuah membabitkan siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kata beliau, dua lagi anggota terlibat dalam pemerasan manakala seorang lagi membabitkan kes dadah.
“Kes ini berlaku dalam tempoh dua minggu iaitu bermula 1 Julai lalu dan kesemua mereka kini ditempatkan di bahagian pentadbiran yang tidak melibatkan urusan luar.
“Walaupun ada kes membabitkan SPRM, siasatan turut dilakukan oleh Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Pulau Pinang untuk tindakan tatatertib,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Tambah Mohd Shuhaily, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terlibat dalam kegiatan rasuah, jenayah serta melanggar etika pasukan beruniform itu.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku anggota dan pegawai polis menghubungi Polis Kontinjen Pulau Pinang bagi melaporkan kejadian tersebut. – MalaysiaGazette