Home Politik Apa sudah jadi dengan BERJASA?

Apa sudah jadi dengan BERJASA?

Mustapaha Kamal Maulut

Nampaknya sudah ada krisis kepimpinan di dalam Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA).

Kini ada pihak yang mendakwa mereka daripada BERJASA dan mendakwa individu bernama Datuk Seri Dr. Mustafa Kamal Maulut bukan presiden sebenar parti itu.

Datuk Hashim Karim yang mendakwa timbalan presiden parti itu, Presiden BERJASA masih Abd. Kadir Mamat.

Malah beliau menegaskan Mustafa bukan sahaja tidak pernah menjadi barisan kepimpinan BERJASA malah bukan seorang ahli parti pun.

Menurut Hashim, Mustapha juga didakwa menggunakan logo dan lambang parti yang bukan digazetkan pada tahun 1978 semasa parti itu didaftarkan.

Katanya, segala keputusan dibuat oleh Mustafa tidak diiktiraf parti.

Sementara itu, Mustafa gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan memandangkan beliau kini berada di Bangladesh atas urusan Persatuan Bola Baling Sedunia yang mana beliau adalah presidennya.

Sejak pertengahan tahun lepas, Mustafa telah mengadakan beberapa sidang media memberitahu pihaknya dan rakan-rakan parti BERJASA sudah ‘merampas’ kuasa dan tampuk kepimpinan.

Tindakan mereka kerana kepimpinan yang ada cuba menyerahkan parti kepada PERKASA dan kepada kumpulan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan rata-rata ahli jawatankuasa tidak menerimanya.

Justeru, mereka bertindak ‘membuang’ presiden lama dan menaikkan Mustafa yang ketika itu sudah menjadi timbalan presiden BERJASA.

Apa yang pasti, kemelut yang berlaku membawa persoalan mengenai status sama ada BERJASA di bawah Mustafa yang bekerjasama dengan Pas dibawah Gagasan Sejahtera selain Parti Ikatan.

Jika bukan parti berdaftar nampaknya Pas ditipu oleh Mustafa yang sejak kebelakangan ini cuba menarik sokongan golongan koperasi menyokongnya kerana beliau juga pemimpin Koperasi Ukhwah.-MalaysiaGazette