PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan program Bakul Prihatin Negara, yang melibatkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima dengan peruntukan RM21 juta.
Bercakap kepada media selepas meninjau pusat penyimpanan dan agihan Bakul Prihatin Negara di Dewan Perdana Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini, Muhyiddin berkata, program tersebut adalah komitmen kerajaan dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan masyarakat yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.
Program berkonsepkan “masyarakat menyeluruh’ melibatkan kerjasama kerajaan dan syarikat korporat dan ia diuruskan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah KPWKM. Setiap bakul makanan bernilai RM50 itu mengandungi beras, gula, tepung gandum, bihun, kicap, sardin, biskut, kopi dan garam.
“Dalam soal pengurusan kebajikan rakyat ni kita tak boleh berkompromi. Selagi masalah pandemik COVID-19 belum dapat diatasi dan soal ekonomi belum pulih, saya cukup prihatin dan rasa agak bertanggungjawab untuk menentukan kesejahteraan rakyat di negara kita tak kira apa latar belakang mereka, di mana mereka berada, mestilah kita laksanakan dan kita berikan sebaik-baik perhatian untuk membantu mereka,” katanya.
Menurut Muhyiddin, daripada peruntukan RM21 juta itu, RM5 juta adalah merupakan peruntukan kerajaan manakala RM16 juta disumbangkan oleh syarikat korporat.
Muhyiddin berkata, setakat ini, tidak termasuk Bakul Prihatin Negara, kerajaan telah menyalurkan sebanyak 2.315 juta bakul makanan melibatkan peruntukan RM173.4 juta yang telah memanfaatkan seramai 9.26 juta orang sejak pelaksanaan Bantuan Bakul Makanan fasa pertama pada Mac tahun lepas.