KUALA LUMPUR – Semua Ahli Parlimen digesa menggunakan peruntukan RM300,000 yang diberikan untuk membantu rakyat yang memerlukan dengan segera.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, sebagai wakil rakyat, Ahli Parlimen bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan.
“Saya minta semua Ahli-ahli Parlimen yang sudah dapat RM300,000 dengan segera memberi bantuan kepada rakyat yang memerlukan, ini yang penting sekarang bukan masanya kita cakap pasal politik.
“Rakyat tengah susah. Sebagai wakil rakyat mestilah bertanggungjawab menjaga rakyat. Dengan secepat mungkin hulurkanlah bantuan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat Beringin, di sini hari ini.
Jelas beliau, ahli politik sepatutnya fokus untuk membantu rakyat bukannya menggerakkan agenda politik semata-mata.
Justeru Dominic menggesa semua ahli politik tidak membangkitkan isu politik pada waktu ini.
“Terutamanya kepada parti-parti politik, ahli politik, ketepikanlah agenda politik. Marilah kita semua fokus memberikan bantuan kepada rakyat,” tambahnya.
Pada 28 Jun yang lalu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) peruntukan RM300,000 untuk setiap Ahli Parlimen bagi program Bantuan Bakul Makanan untuk rakyat yang terjejas akibat Covid-19.
Terdahulu Dominic menyerahkan 200 bungkus keperluan asas yang terdiri daripada sayur-sayuran kepada penduduk di PPR Beringin menerusi program Helping Hand yang dikendalikan parti Gerakan.
Katanya, program tersebut merupakan kesinambungan Gerakan membantu gelandangan baru-baru ini di kawasan ibu kota.
“Sekarang rakyat sangat susah terutama akibat ancaman Covid-19 oleh itu sebagai parti politik bertanggungjawab kita sentiasalah beri bantuan,” katanya. -MalaysiaGazette