Home Nasional Sindiket palsu E-Kad PATI minta bayaran RM1,000 ke RM4,000

Sindiket palsu E-Kad PATI minta bayaran RM1,000 ke RM4,000

KUALA LUMPUR – Sindiket pemalsuan kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) kepada pendatang asing tanpa izin mengenakan bayaran antara RM1,000 hingga RM4,000 setiap seorang, dedah Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Mustafar Ali.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Mustafar berkata setakat ini pihaknya sudah menemui 50 kes membabitkan PATI yang memiliki E-Kad palsu.

“Kita mengesan pemalsuan E Kad ini menerusi operasi yang dijalankan selepas tempoh permohonan kad berkenaan tamat pada hujung Jun lalu,” katanya semasa sidang media di Tanah Merah.

Daripada siasatan awal JIM, Mustafar memberitahu bayaran tersebut dikenakan oleh sindiket yang didalangi warga tempatan dan luar negara sendiri.

“Siasatan awal kita dapati bayaran yang dikenakan antara RM1,000 hingga RM4,000 yang dikenakan sindiket didalangi warga tempatan dan luar negara termasuk Bangladesh dan Myanmar.

“Setakat ini ada yang sudah dibawa ke mahkamah dan masih banyak yang perlu penelitian,” katanya lagi.

Terdahulu, Mustafar menyaksikan Majlis Interaksi dan Amanat Ketua Pengarah Imigresen di Depot Imigresen Tanah Merah, hari ini.

Pada majlis itu seramai 200 pegawai dan anggota JIM Kelantan turut melafazkan Ikrar Bebas Rasuah dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah.- MalaysiaGazette