KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada Isnin lalu.
Pertemuan selama sejam itu berlangsung di rumahnya.Katanya, Tengku Zafrul bertemu dengannya untuk mendapatkan pandangan mengenai cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dicadangkan oleh Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).
Menurut Mahathir, beliau ada memberikan beberapa cadangan kepada Tengku Zafrul bagi membolehkan kerajaan menangani penularan pandemik Covid-19.
“Tujuan dia datang jumpa saya untuk bertanya kepada saya tentang cara-cara untuk melawan wabak.
“Saya tidak utamakan politik sama sekali, saya cuma utamakan nasib rakyat dan untuk ini apa juga yang saya tahu saya telah beritahu kepada Tengku Zafrul,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.
Ditanya sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menghantar Tengku Zafrul, Mahathir berkata; “Dia (Tengku Zafrul) tidak berkata apa mengenai itu dan saya tidak bertanya mengenai kehadiran beliau.”
Dalam pada itu, Mahathir berkata, dalam pertemuan itu, Tengku Zafrul tidak langsung menjemput beliau untuk menyertai mana-mana badan yang ditubuhkan kerajaan untuk menangani Covid-19.
“Cuma dia tanya saya bagaimana nak tangani pandemik ini,” katanya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Langkawi itu sangsi dengan Kerajaan Perikatan Nasional itu kerana berpendapat cadangan-cadangan itu tidak akan dilaksanakan oleh kerajaan.
“Mereka tidak ada idea macam mana nak tangani masalah Covid-19, jadi dia datang jumpa saya, saya ada beberapa idea untuk menangani masalah ini tapi saya tidak sembunyi idea saya.
“Dia nak tahu, saya bagitahu kepada dia. Kalau mereka boleh buat, mereka buat.
“Tetapi kami khuatir oleh kerana unsur politik akan bercampur dengan usaha ini, mereka tidak akan mencapai kejayaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Zafrul maybe doing the right things by asking Tun. Well, afterall Tun have vast experience handling crisis. Hope something good will come and works well.