KUALA LUMPUR – Mulai esok, semua warga emas di Lembah Klang yang belum mendapat tarikh temu janji untuk vaksinasi boleh berbuat demikian secara terus (walk-in).
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, semua warga emas di Lembah Klang boleh mendapatkan vaksin di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV).
“Ingin saya tekankan di sini, hanya warga emas yang belum menerima tarikh janji temu boleh walk in. Saya tidak mahu ada yang sudah dapat tarikh janji temu hadir,” katanya dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini.
Sehubungan itu, Khairy berkata, laluan khas bagi warga emas akan disediakan di setiap PPV di Lembah Klang selain garis panduan bagi melancarkan proses pemberian vaksin secara terus.
“Kita nak pastikan setiap warga emas ini mendapat perlindungan secepat mungkin, justeru kerajaan memutuskan pendekatan walk in.
“Selain itu, kita akan pastikan warga emas menerima vaksin dalam keadaan selesa dan selamat, memandangkan jumlah kes harian masih tinggi di Lembah Klang,” katanya.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengumumkan penduduk Lembah Klang berusia 60 tahun ke atas dan masih belum lagi menerima vaksin Covid-19 dibenarkan datang secara walk-in atau tanpa janji temu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Warga emas di Lembah Klang boleh ‘walk in’ untuk dapat vaksin