Home Nasional KPDNHEP pertimbang status vaksinasi pekerja prasyarat beroperasi

KPDNHEP pertimbang status vaksinasi pekerja prasyarat beroperasi

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mempertimbangkan untuk menjadikan vaksinasi pekerja sesebuah syarikat sebagai salah satu prasyarat untuk kelulusan beroperasi.

Ia khususnya kepada syarikat terlibat dalam aktiviti ekonomi yang melibatkan sentuhan dan interaksi bersemuka secara berdekatan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu, sebanyak empat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) bagi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) telah diluluskan penubuhannya dan mula beroperasi 26 Julai ini.

Ia melibatkan RiVAC di IOI City Tower, Petaling Jaya Performing Art Center, Centro Mall Klang dan Aeon Mall di Nilai.

Dengan pembukaan empat lagi pusat RiVAC, KPDNHEP menjangka 105,000 orang pekerja dari sektor peruncitan akan menerima vaksinasi sepenuhnya sebelum 31 Ogos ini.

Menurut kementerian itu, penambahan itu akan mempercepatkan  objektif Operation Surge Capacity diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin baru-baru ini iaitu 100 peratus penduduk Lembah Kelang akan menerima vaksinasi sekurang-kurangnya dos pertama menjelang 1 Ogos ini.

“Vaksinasi merupakan solusi dan pemangkin untuk menjayakan PPN dengan menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin.

“Semua pekerja yang menyantuni pengguna dan menyediakan persiapan logistik dalam premis perniagaan sekurang-kurangnya telah membina sebahagian imuniti yang diperlukan dari dos pertama vaksinasi yang diterima yang sekaligus mengurangkan risiko penularan termasuk pengguna dan ahli keluarga mereka,” kata KPDNHEP menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, setiap pusat RiVAC berkenaan berkapasiti maksiumum 21,000 orang.

RiVAC yang dilaksanakan secara kerjasama dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) serta MOSTI dan dan pemain industri peruncitan dan pengedaran.

Pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) pertama untuk Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) akan dibuka di Cititel Mid Valley City, Kuala Lumpur bermula 26 Julai ini.

Kementerian itu menyeru agar semua syarikat sektor peruncitan termasuk pasaraya, kedai runcit, stesen minyak, restoran, bengkel, kedai hardware, kedai gunting rambut dan lain-lain sektor peruncitan untuk menyertai RiVAC dan mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi untuk pekerja mereka seberapa segera.-MalaysiaGazette