Home Seni Hidup HM4P masih tidak dibenarkan masuk Gaza – Azeez

HM4P masih tidak dibenarkan masuk Gaza – Azeez

Abdul Azeez Rahim (kanan). Foto Facebook Azeez Rahim.

KUALA LUMPUR – Misi Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) al-Quds dan Gaza yang diketuai oleh Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim masih belum dibenarkan memasuki Gaza di Palestin selepas lebih 25 hari berada di Mesir.

Abdul Azeez melalui hantaran di Facebooknya berkata, pihaknya perlu mendapatkan beberapa kebenaran daripada kerajaan Mesir sebelum meneruskan perjalanan misi kemanusiaan di wilayah itu.

Menerusi hantaran terbaharu hari ini, beliau kini berada di kem Pelarian Gaza di  Jordan yang terletak di kawasan perkampungan Jerash kira-kira 100 kilometer dari bandar Amman dan menempatkan lebih kurang 33,000 pelarian dari Gaza.

“Segala kebenaran telah kami perolehi dari kementerian terlibat di Malaysia sebelum kami berlepas ke Mesir.

“Segala cabaran dan dugaan yang kami hadapi mengajar kami erti perjuangan demi saudara seislam kita di Gaza. Beratnya dugaan yang terpaksa kami lalui maka lebih beratlah ujian yang mereka hadapi namun semangat juang mereka tidak pernah padam mempertahankan bumi Palestin,” tulisnya pada hantaran sebelumnya..

Abdul Azeez memberitahu, sepanjang mengendalikan 40 misi kemanusiaan di luar negara, ini merupakan kali pertama pihaknya menghadapi dugaan yang luar biasa dan meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan pihaknya di sana.

“Walaupun terpaksa senyum dan ketawa di sebalik tangisan, semangat dan kecekalan kami untuk memasuki Gaza membawa solidariti rakyat Malaysia, mewakili keprihatinan dan kasih sayang seluruh rakyat Malaysia kepada semua saudara kita di sana tidak akan pernah luntur dan padam.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, kami team HM4P memohon agar terus mendoakan kami dapat masuk ke bumi Gaza dengan niat dan matlamat yang murni dan dapat segera pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat,” katanya.

Terdahulu, misi kemanusiaan HM4P selama dua minggu anjuran Biro Kebajikan UMNO (Bikum) yang dipengerusi oleh Abdul Azeez itu berlepas ke Jordan pada 16 Jun bertujuan menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan ke dua lokasi tersebut yang terjejas selepas serangan tentera Zionis.

Misi tersebut turut disertai oleh penyanyi yang juga aktivis kemanusiaan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 32. – MalaysiaGazette