KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat yang tidak membenarkan mana-mana ahli Parlimen berbahas dilihat seperti pentas ceramah dan ia tidak mengikut kelazimannya.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa menerusi surat yang dihantar Setiausaha Dewan Rakyat baru-baru ini, ia jelas mengingkari kepada perintah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.
“Adalah jelas tindakan menteri-menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menjadikan sidang Parlimen sebagai tempat berceramah dan memberi penerangan telah menghina institusi Parlimen.
“Sepanjang 21 tahun hayat saya sebagai ahli Parlimen, saya tidak pernah hadir sidang Parlimen (termasuk sidang khas Parlimen) yang tidak memberi ruang kepada ahli-ahli Parlimen untuk menyertai perbahasan atau pun membentangkan usul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemimpin DAP itu berkata, menerusi surat tersebut, semua ahli Parlimen hanya dibenarkan meminta penjelasan dan memberikan pandangan semasa penerangan daripada menteri-menteri sahaja.
“Bukankah tindakan ini membazirkan sumber dan masa Parlimen serta ahli-ahli Parlimen yang datang dari seluruh negara?” soalnya.
Beliau berkata, mengikut surat yang dikeluarkan kepada ahli-ahli Parlimen bertarikh 15 Julai 2021, agenda sidang khas Parlimen termasuk pembentangan Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari 2021, Proklamasi Darurat (No. 2) bertarikh 12 Disember 2020 mengenai Pilihan Raya Parlimen P. 054 Gerik, Perak dan Pilihan Raya Negeri N.66 Bugaya, Sabah.
Beliau berkata, sidang khas Parlimen itu juga termasuk penerangan daripada menteri-menteri berkenaan Pelan Pemulihan Negara, Program Vaksinasi, Pelaksanaan Darurat dan Pakej-pakej Bantuan Ekonomi.
“Isu-isu tersebut adalah perkara yang sangat penting yang perlu dibahas dan dibincangkan secara serius oleh ahli-ahli Parlimen. Peranan ahli Parlimen bukannya datang ke Parlimen dengar penerangan atau pun ceramah menteri tetapi kami dipilih oleh untuk membawa masalah rakyat dan masalah pelaksanaan dasar kerajaan di Parlimen kerana Parlimen sudah tidak bersidang lebih tujuh bulan.
“Ini juga adalah tujuan YDPA mengarah Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengadap Baginda untuk mengadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos 2021,” tambahnya.- MalaysiaGazette