Home National Kembalikan kegemilangan Tabung Haji

Kembalikan kegemilangan Tabung Haji

Noor Azleen Ambros

JOHOR BAHRU – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)  bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berpendapat penubuhan RCI perlu dilakukan bagi mengembalikan keyakinan fungsi dan kredibiliti peranan TH sebagai sebuah institusi penting umat Islam.

Kata beliau, RCI perlu jujur dan terbuka untuk mengenal pasti sebarang kelemahan dan ketidakcekapan tadbir urus selain mengenal pasti isu berkaitan integriti dan kesalahan yang mungkin telah dilakukan oleh lembaga pengarah mahupun pentadbiran TH sebelum ini.

“Kebertanggungjawapan (accountability) setiap mereka yang terlibat wajar dibawa dan dihadapkan ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Noor Azleen, cadangan Kementerian Kewangan untuk meletakkan TH di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 perlu dilihat daripada segi merit dan keperluan setelah semua hasil dan dapatan RCI lengkap dan dibentangkan di Parlimen.

“Pemuda UMNO Pasir Gudang berpandangan bahawa cadangan terbaharu Kementerian Kewangan ini dilihat mendahului proses RCI berkenaan TH, tanpa mengambil kira hasil serta dapatan RCI yang masih belum berjalan.

“Apa juga bentuk cadangan daripada kerajaan baik melalui penubuhan RCI dan pindaan ke atas Akta Tabung Haji 1995 haruslah menyeluruh dengan menumpukan kepada usaha untuk mengangkat kembali martabat, mengembalikan keyakinan serta kredibiliti TH sebagai institusi dan instrumen ekonomi penting di Malaysia,” jelas beliau.

Noor Azleen berkata, ini kerana TH sangat dekat dengan umat Islam di Malaysia, selain saban tahun terkenal dan mendapat pengiktirafan dunia dengan kecekapannya menguruskan ribuan jemaah haji yang mana ia berperanan sebagai instrumen ekonomi umat Islam di negara ini.

“Boleh dipercayai (credible) dan diyakini (trusted), urusniaga dan pelaburan yang suci serta bersih dari sebarang unsur riba, dan patuh syariah adalah antara ciri-ciri yang sememangnya sinonim dengan institusi ini.

“Maka tidak hairanlah apa juga isu dan perkembangan yang menyentuh TH mendapat perhatian umum serta akan turut menyentuh sensitiviti sebahagian besar umat Islam di Malaysia,” ujar beliau. – Malaysiagazette