Home Nasional Perketatkan SJR elak orang balik kampung sambut Hari Raya Aidiladha

Perketatkan SJR elak orang balik kampung sambut Hari Raya Aidiladha

Mohd Shuhaily.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang akan memperketatkan Sekatan Jalan Raya (SJR) di di seluruh negeri ini termasuk laluan tikus bagi mengelak orang ramai mengambil kesempatan merentas negeri bagi menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman masing-masing.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, SJR akan diperketatkan selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika ini.

Jelas beliau, pihaknya juga akan memperhalusi setiap permohonan pergerakan agar tiada orang menggunakan alasan tidak munasabah untuk melakukan pergerakkan rentas negeri.

“Tiada pertambahan SJR dibuat tapi kita akan perketatkan lagi SJR di lokasi sedia ada.

“Selain itu, hebahan supaya mengamalkan 3C dan 3W semasa perayaan Aidiladha akan dibuat dengan lebih kerap melalui semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

“Kita juga harap orang ramai memberikan kerjasama dalam mematuhi semua SOP ditetapkan agar pandemik ini dapat ditamatkan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Pada 7 Julai lalu, Pulau Pinang beralih kes fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Peralihan itu dibuat selepas negeri ini mencapai tiga nilai ambang fasa kedua PPN. – MalaysiaGazette