Home National Buat penghantaran jelik, penolong pengurus mengaku tidak bersalah

Buat penghantaran jelik, penolong pengurus mengaku tidak bersalah

Tertuduh,Mohamad Arif Ahmad, 29 mengaku tidak bersalah atas dakwaan membuat penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik

KOTA TINGGI – Seorang penolong pengurus mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran yang bersifat jelik dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi pada Oktober tahun lepas.

Mohamad Arif Ahmad, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Arif didakwa melalui aplikasi Twitter dengan menggunakan nama profil “Uncle Ireeve @ mxdriv” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada kira-kira jam 9.20 pagi 25 Oktober tahun lalu.

Hantaran yang berbunyi “kalau tak nak tekanan berhenti jadi rajalah bodo. Tertekan pun duduk dalam istana so apahal?” kemudiannya dibaca pada hari yang sama di kedai makan, Air Papan di daerah Mersing pada pukul 3.30 petang.

 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Mohamad Arif boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali selain didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi menawarkan wang jaminan berjumlah RM20,000 dan seorang penjamin dengan syarat tambahan agar tertuduh tidak memuatnaik sebarang hantaran di laman media sosial mengenai kes tersebut.

Bagaimanapun, peguam Omar Kutty Abdul Aziz yang mewakili Mohamad Arif meminta agar wang jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh menanggung ibu bapanya yang menghidapi beberapa penyakit dan berpendapatan RM2,500 sebulan.

Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan RM8,000 dan seorang penjamin serta menasihati agar tertuduh tidak membuat sebarang komen di laman media sosial mengenai kes itu.

Wan Mohd Norisham kemudiannya menetapkan 22 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette