Home Utama PATI ‘dikejutkan’ polis ketika nyenyak tidur

PATI ‘dikejutkan’ polis ketika nyenyak tidur

Pihak polis menahan PATI dalam Ops Bersepadu di Taman Dedap, Mak Mandin hari ini.

SEBERANG PERAI – Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang nyenyak tidur hanya mampu terkedu apabila ‘dikejutkan’ kehadiran pihak berkuasa dalam Ops Bersepadu hari ini.

Operasi di Taman Dedap, Mak Mandin, di sini, bermula jam 10 pagi tadi itu dijalankan sepasukan polis dari Balai Polis Mak Mandin yang diketuai Inspektor Roslan Mat dengan kerjasama pihak Imigresen, Kementerian Dalam Negeri.

Ketika serbuan dilakukan ada beberapa PATI cuba melarikan diri, namun tindakan pantas pihak berkuasa berjaya mengepung dan memberkas mereka.

Noorzainy.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bertindak atas maklumat dan risikan pihaknya menyerbu dua rumah kedai yang dipercayai dijadikan asrama pekerja asing.

Jelas beliau, hasil serbuan pihak polis menahan sembilan PATI berusia lingkungan 23 hingga 45 tahun yang bekerja sebagai buruh serta pekerja kedai makan.

Antara PATI yang ditahan dalam Ops Bersepadu di Taman Dedap, Mak Mandin Pulau Pinang hari ini.

“Hasil semakan mendapati mereka yang terdiri daripada warga Bangladesh (5); Nepal (3) dan seorang Myanmar itu gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

“Siasatan awal juga mendapati ada antara PATI tersebut sudah tinggal dalam negara hampir dua tahun tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

Tambah Noorzainy, operasi sebegini akan diteruskan dan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette