MUAR – Kerajaan Negeri Johor akan terus memastikan golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dibantu menerusi pelbagai inisiatif dalam pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan.
Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad berkata, usaha itu akan diteruskan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada mendapat pembelaan kerajaan.
“Tidak ada yang terjejas dikecualikan menerima bantuan.
“Sesiapa yang layak, kerajaan atas kemampuan yang ada akan bantu sebanyak mungkin selama yang boleh menerusi pakej rangsangan ekonomi ini,” katanya selepas melawat Gobok Rakyat Johor di Kompleks Penghulu Parit Jawa, di sini, semalam.
Jelas Hasni, Gobok Rakyat Johor merupakan salah satu inisiatif yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0, baru-baru ini.
Dengan peruntukan sebanyak RM8 juta itu katanya, inisiatif tersebut dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih100,000 rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Inisiatif berkenaan juga akan diselaraskan di semua Pejabat Daerah dan menyasarkan kepada golongan asnaf, fakir, B40 dan M40 atau yang terputus bekalan makanan dan barangan keperluan.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan bergerak seiring dengan Kerajaan Pusat bagi mencapai matlamat Pelan PemulihanNegara (PPN) dalam menguruskan pandemik serta ekonomi.
“Dalam PPN juga sudah ditetapkan kaedah berkaitan dengan pendemik Covid-19 ini.
“Kaedah kita menguruskan ekonomi dan juga hal. Jadi,usaha ini akan bergerak seiring kerana soal kesihatan dan ekonomi, dua-dua hal tu penting.
“Berkenaan pandemik seperti pengurusan pemberian vaksin berjalan lancar, manakala dalam soal ekonomi, pakej rangsangan dilaksanakan dengan cara yang berterusan,” katanya. -MalaysiaGazette