KUALA LUMPUR – Kenderaan awam berdaftar perlu menjalani pemeriksaan secara berkala seperti yang ditetapkan bagi memenuhi piawaian keselamatan dan bukan hanya diperiksa pada musim perayaan sahaja.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, arahan dan keperluan itu terkandung dalam Seksyen 12, Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang mewajibkan semua kenderaan awam menjalani pemeriksaan awal dan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Pemeriksaan berkala dan piawaian pemeriksaan tersebut adalah bagi kenderaan baharu sekali dalam setahun untuk dua tahun pertama dan pemeriksaan selepas itu adalah sekali dalam setiap enam bulan,” katanya pada persidangan Dewan Negara, hari ini.
Ab Aziz berkata, pada setiap pemeriksaan berkala itu, kenderaan berkenaan akan menjalani pelbagai pemeriksaan seperti pengesahan identiti kenderaan (pemeriksaan nombor enjin), ujian kadar ketelusan cahaya cermin kenderaan, ujian pelepasan asap dan ujian brek serta meter laju bagi teksi bermeter.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Hanafi Mat mengenai keluhan pengusaha kecil kenderaan berhubung kos pemeriksaan kenderaan yang tinggi di Puspakom, beliau berkata kos pemeriksaan itu masih rendah.
Katanya caj bayaran yang ditetapkan bagi pemeriksaan di Puspakom tidak berubah sejak 2007, RM55 untuk teksi dan RM90 bagi kenderaan lori. – MalaysiaGazette