BAWAH KOLONG (BK) tak tahu apa cerita sebenar di sebalik serang menyerang ahli agamawan dengan ahli agamawan dan ahli agamawan dengan selebriti.
Tiba-tiba kes meletup sampai mengalahkan isu Covid-19 yang semakin naik, isu sidang Parlimen pada 26 Julai ini dan isu perebutan kuasa di kalangan ahli-ahli politik.
Ada kawan media kata, mereka ini nak cari publisiti murahan. Kalau ada isu, ada konflik, mudah sikit masuk surat khabar, TV dan media internet. Nama akan tersohor. Lepas tu banyak dapat ‘Like’ dan ‘Follower’ dalam media sosial mereka.
Sebagai orang buta teknologi maklumat (IT), BK tak tahu apa istimewanya dapat ‘Like’ banyak, dapat ‘Follower’ banyak. Sebab BK pun ada media sosial Facebook juga, dapat ‘Like’ juga, banyak ‘Follower’ juga, tapi tak ada apa pun yang BK dapat daripada itu semua.
Nak kata BK akan jadi lebih tersohor kerana dapat banyak ‘Like’, dapat banyak ‘Follower’, rasanya macam biasa juga, akaun bank tak bertambah-tambah pun kalau BK tak buat ‘overtime’ atau kerja lebih masa.
Jadi, BK buat kesimpulan, dia orang ‘bergaduh’ dalam media sosial ini kerana nak tunjuk sikap tidak matang mereka kepada masyarakat. Selama ini mereka disanjung atas keperibadian baik yang ditunjukkan mereka.
Dengar orang susah, mereka yang pertama sampai, hulur macam-macam bantuan. Dari wang tunai, tilam, kipas angin, makanan asas sampai kepada cari rumah sewa untuk keselesaan golongan ini.
Betapa sucinya jiwa mereka. Belanjakan harta ke jalan yang diredhai Allah. Masyarakat melihat dan mendengar pun rasa terharu dengan kebaikan mereka, sikap murah hati mereka.
Sampai ada individu dalam diam-diam meniru cara ahli dermawan ini, turun menderma walaupun sumbangan tak banyak, tapi menjadi ikutan yang baik.
Namun, perbuatan baik ini selalunya tak lama. Mula timbul hasad dengki, tuduh menuduh, kata mengata, salah menyalahkan antara satu sama lain.
Mereka gunakan media sosial. Muat turun status yang bukan-bukan memburukkan kawan. Masyarakat yang memerhati tingkah laku mereka selama ini terkejut. Maka banyaklah komen pro dan kontra dari netizen.
Keadaan menjadi lebih teruk dan buruk. Pandangan masyarakat yang positif selama ini bertukar jadi negatif. Tanpa usul periksa, dengan hanya merujuk kepada status itu, yang tak bersalah dijatuhkan hukuman bersalah oleh masyarakat.
Maka hilanglah rasa hormat orang ramai kepada agamawan berkenaan mahupun selebriti itu.
Kepada siapa lagi rakyat mahu jadikan contoh dan ikutan? Kepada ahli-ahli politik sekarang? Memang hancur. Mereka mengajar kepada rakyat bagaimana untuk jadi pemimpin yang tidak baik, degil, keras kepala dan suka bercakap belit-belit.
Atau kepada ahli agamawan yang dermawan, yang pemurah dan yang zuhud? Nampaknya sifat-sifat itu sudah terhakis dalam diri masyakarat dek kerana sikap mereka sendiri. Mereka boleh dengan sekelip mata menunjukkan tauladan tidak baik kepada rakyat.
Begitu juga nak jadikan contoh dan ikutan para selebriti? Apa kebaikan yang mereka buat? Tunjuk pakaian mencolok mata atau mencucuk mata, tunjuk aksi yang tidak baik kepada masyarakat di luar?
Nak tak nak, ibu bapa juga kena mainkan peranan perbetulkan minda anak-anak jangan diikut, jangan diambil tahu sangat krisis yang berlaku dalam dunia politik, dalam dunia agamawan dan dalam dunia selebriti.
BK bukan berniat nak memburuk-burukkan atau nak merendah-rendahkan mereka. Jelas terpampang di depan mata, mereka sendiri yang mempamerkan sikap sedemikian di depan rakyat.
Berbalik kepada krisis agamawan dengan selebriti. Ia hanya berpunca daripada misi kemanusiaan yang dilakukan secara peribadi oleh masing-masing pihak. Mereka ada duit, mereka ada pengaruh, mereka layak untuk melakukan misi itu.
Baguslah kalau berebut untuk berbuat kebajikan. BK sokong, BK terharu dengan sikap murah hati. Terpulang pada diri masing-masing, tak nak tolong rakyat susah di dalam negeri, tapi nak tolong rakyat susah di luar negara, itu hak mereka sebab duit mereka.
Tetapi, janganlah sampai cetuskan rasa dengki dan iri hati antara satu sama lain. Tunjuk sikap kurang baik kepada masyarakat dengan menyalah kawan baik kononnya begitu begini.
Dah kita ada kemampuan dari segi kewangan dan pengaruh, gunalah kemudahan itu untuk berkebajikan. Jangan melihat kesalahan atau kelemahan kawan kita. Bumi ini luas, berpuluh negara yang rakyatnya perlukan bantuan, pelan dan rancanglah untuk bawa ke mana bantuan itu.
Kenapa perlu tumpu pada satu tempat? Kenapa perlu cemburu kalau kawan kita dapat masuk ke negara itu, sedangkan kita tak dapat?
Kalau kita tak boleh masuk, maknanya kita tidak ada keistimewaan yang dimiliki oleh kawan kita itu. Jadi, kita lupakan negara itu, kita carilah negara lain untuk hulurkan bantuan kita.
Tak dapat masuk ke Palestin contohnya, masyarakat tak akan marah atau cemuh pun dengan kegagalan itu. Tidak jatuh maruah pun kalau misi kemanusiaan itu tidak tercapai. Masyarakat tahu bukan mudah nak masuk ke negara bergolak.
Di Malaysia pun, bukan sedikit rakyat susah, daif dan miskin. Kenapa tak ubah saja pelan, daripada hantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat di luar negara, baik agih-agihkan bantuan itu kepada rakyat dalam negara.
Mereka inilah sebenarnya yang ‘Like’ dan jadi ‘Follower’ media sosial kita, bukan rakyat di luar negara sana. Mereka pun tak kenal anda, apatah lagi ada masa nak ikuti perjalanan hidup anda.
Pada BK, inilah cara para agamawan dan selebriti nak ucapkan terima kasih atau berbalas budi kepada rakyat Malaysia, yang banyak beri sokongan moral kepada mereka sehingga Allah meletakkan mereka di kayangan.
Tapi, setelah semua masyarakat tahu perangai buruk kita, mula pandang negatif pada kita, baru hari ni nak minta maaf? Sudah terlambat. – MalaysiaGazette