Home Dunia Victoria lanjutkan lagi sekatan pergerakan

Victoria lanjutkan lagi sekatan pergerakan

Jalan raya lengang susulan sekatan pergerakan di Victoria. foto Reuters

SYDNEY – Pihak berkuasa Australia melanjutkan sekatan pergerakan Victoria meskipun kes jangkitan Covid-19 di negeri itu menunjukkan penurunan dalam usaha mengekang penularan varian Delta.

Perdana Menteri Victoria, Daniel Andrews berkata, sekatan pergerakan tidak akan ditarik kerana kes masih dikesan di dalam komuniti.

“Mungkin ada sinar (penurunan kes) beberapa hari ini dan ada juga kemungkinan kita terpaksa disekat semula. Itulah yang saya cuba elakkan,” kata Andrews yang menjawab pertanyaan mengapa negerinya masih berada dalam sekatan pergerakan.

Victoria, negara kedua terpadat di Australia, merangkumi Melbourne, melaporkan 13 kes tempatan pada hari ini, turun daripada 16 kes pada hari sebelumnya.

Hampir separuh daripada 25 juta penduduk Australia telah ‘dikurung’ dalam kediaman masing-masing.

Sydney, bandar terbesar di Australia dikenakan sekatan pergerakan selama lima minggu dan seluruh negeri Victoria berada di bawah peraturan perintah berkurung berikutan penularan varian Delta yang mencetuskan kes jangkitan Covid-19 terburuk tahun ini.

Negeri New South Wales (NSW), yang merupakan ibu kota Sydney, melaporkan 98 kes baharu, turun dari 105 hari sebelumnya.

Sekurang-kurangnya 20 kes baharu menular dalam komuniti.

“Angka 20 itu adalah nombor yang semakin hampir dengan angka sifar, semakin cepat kita dapat mengakhiri sekatan,” kata Perdana Menteri NSW, Gladys Berejiklian semasa sidang media di televisyen.

Pada masa ini terdapat 82 orang dirawat di hospital dengan 24 orang ditempatkan di unit rawatan rapi manakala tujuh pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

NSW telah melanjutkan sekatan pergerakan sebanyak dua kali dan sepatutnya berakhir pada 30 Julai ini. – MalaysiaGazette