KUALA LUMPUR – Inisiatif walk-in di Selangor dan Kuala Lumpur pada 1 Ogos ini adalah untuk golongan yang tercicir dan belum mendapat janji temu selepas tarikh tersebut dan bukan untuk orang ramai yang sudah pun diberikan janji temu masing-masing.
Perkara itu dijelaskan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berikutan mesej tular orang boleh walk-in untuk mendapatkan suntikan vaksin pada 1 Ogos ini.
Menurut CITF, contoh golongan yang belum mendapat janji temu adalah mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan, seperti yang dijelaskankan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin pada 16 Julai lalu.
Mengulas lanjut, CITF memaklumkan, individu di Kuala Lumpur dan Selangor yang telah mendaftar sebelum ini akan diberikan janji temu dalam masa terdekat.
“Individu yang masih belum mendaftar, tetapi tiada kekangan untuk berbuat demikian, juga digalakkan untuk mendaftar untuk vaksinasi secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
CITF juga memaklumkan bahawa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang akan beroperasi untuk tujuan walk-in pada bulan Ogos nanti akan dikemas kini dan dimaklumkan kelak, di mana PPV yang ada sekarang tidak semestinya akan dibuka untuk inisiatif walk-in ini.
Dalam pada itu, CITF ingin menyeru agar mereka yang telah menerima janji temu vaksin untuk menghadiri janji temu pada tarikh dan lokasi PPV yang telah diberikan.
Ini mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas, kes Covid-19 yang tinggi dan keperluan untuk mendapat perlindungan melalui vaksin secepat mungkin. – MalaysiaGazette