Home Nasional 230,000 tunai umrah, pakej lebih RM1 bilion

230,000 tunai umrah, pakej lebih RM1 bilion

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kira-kira 230,000 rakyat Malaysia telah menunaikan ibadah umrah sejak November 2016 hingga Jun lepas dengan nilai transaksi jualan pakej umrah dan ziarah dianggarkan melebihi RM1 bilion.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata jumlah tersebut merupakan antara faktor munculnya pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menipu dan memperdaya orang awam melalui pakej penjualan umrah palsu.

“Kementerian tidak akan teragak-agak dalam mengambil tindakan yang keras ke atas kesalahan itu mengikut Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) khususnya yang melibatkan kes penipuan dan penjualan pakej umrah palsu,” katanya pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Mas Ermieyati berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Seri Khairudin Samad berkaitan bentuk kawalan yang diambil pihak kementerian bagi mengatasi masalah kewujudan syarikat pelancongan tidak berdaftar yang menyediakan pakej umrah palsu.

Timbalan menteri itu berkata kementerian turut menubuhkan badan bertindak khusus bagi menangani isu berkaitan umrah iaitu Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang ditubuhkan pada 20 Ogos 2014 bersama 13 anggota daripada kementerian sendiri, agensi dan jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan serta persatuan industri pelancongan.

— BERNAMA