KUALA LUMPUR – Memahami denyut nadi masyarakat menyambut Hari Raya Aidiladha esok, portal MalaysiaGazette (MG) meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) denganĀ memberi sumbangan kepada golongan rentan.
Menerusi Program MG Prihatin 2021 kali kedua, ia dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai syarikat korporat dan swasta dengan agihan bantuan berbentuk keperluan asas kepada penduduk Pangsapuri Petaling Perdana, Petaling Jaya.
Rata-rata penerima mereka yang kurang berkemampuan terdiri daripada golongan orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, pesakit kronik seperti strok, kanser, buah pinggang serta mangsa kemalangan.
Pengarang Berita Kanan MG, Mohamed Khairuddin Mohd Amin berkata, program CSR kali ini memilih pangsapuri itu susulan tular kisah seorang penghuninya mengibarkan bendera putih baru-baru ini.
“Program kali ini dilaksanakan adalah dari maklumat kisah Halijah Naemat yang pernah kibarkan bendera putih dan tular di media sosial sekaligus mereka mengalu-alukan untuk kita menghulurkan bantuan kepada penduduk sekitar yang juga terjejas.
“Bantuan kita tidaklah terlalu banyak namun cukup besar untuk kami beri keperluan harian bagi mereka menyambut hari raya Aidiladha ini memandangkan negara masih melaksanakan kawalan pergerakan,” katanya.
Mohamed Khairuddin juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program itu dengan sumbangan yang menggalakkan.
Mendahului senarai penyumbang, Tenaga Nasional Berhad yang komited meneruskan program CSR menyalurkan sumbangan bernilai RM10,000.
Antara penaja lain adalah Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan menyerahkan barangan keperluan kering dan basah.
Sementara itu, Nik Zaiha Juhari, 43, merupakan ibu tunggal bersyukur kerana bantuan diterima dapat meringankan beban mereka sekeluarga untuk menyambut Hari Raya AidilAdha.
“Sebelum ini bekerja ketika bulan Mei lalu, bila Covid-19 tempat kerja tutup dan sekarang ini cari kerja baharu tiada lagi, kebetulan ada pihak bermurah hati nak tolong alhamdulillah. Suka sangat sebab membantu musim Covid-19 ini untuk ringankan beban kita.
“Persiapan Aidiladha, hari ini baru nak cari barang tapi sebab pandemik nak keluar takut dengan bantuan dari MG iniĀ sudah cukup dengan ketupat, beras, susu dan ayam semua cukup sangat.” katanya.
Bagi Noraini Ahmad, 44, yang kehilangan suami hampir empat tahun dan mempunyai lima orang anak yang salah seorangnya OKU juga berterima kasih dengan bantuan yang diberikan MG.
“Sekarang ini saya suri rumah dan tidak bekerja kerana perlu uruskan sepenuhnya anak saya yang OKU ini yang menghidap penyakit cerebral palsy. Ketika ini kami teruskan hidup menerusi bantuan PERKESO dan juga pihak zakat.
“Alhamdulilah dapat bantuan dari MG ini dapat meringankan beban kami,” ujarnya.
Lain pula cerita seorang suami, Mohd Yusof Man yang kini hidupnya bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila isteri tersayang, Rozairah Zainuddin yang diserang angin ahmar.
Namun dengan bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak memberi kelegaan buat dirinya sekeluarga memandang dia kini perlu merawat isterinya sepenuh masa.
“Isteri saya diserang minor stroke ketika tidur apabila bangun dia sedar kaki dia lemah tidak boleh bangun kemudian rahang mulut berubah,” katanya.
Beliau bersyukur dan berterima kasih mewakili isterinya kerana menerima bantuan sempena hari raya korban esok.
“Alhamdulilah, saya ucap terima kasih dengan bantuan ini, ramai yang hulurkan bantuan saya ucap terima kasih banyak-banyak. Kalau tengaok keadaan isteri saya ini, dia ingin cuba bercakap pun agak payah,” katanya.
MalaysiaGazette masih mengalu-alukan tajaan dan sumbangan daripada individu-individu dan syarikat korporat yang mahu bersama-sama menyertai MG Prihatin.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pejabat MalaysiaGazette di talian 03-9054 6842. – MalaysiaGazette