Home Nasional Polis kena segera bertindak aduan keganasan rumah tangga – CASSA

Polis kena segera bertindak aduan keganasan rumah tangga – CASSA

KUALA LUMPUR – Polis digesa segera bertindak atau sekurang-kurangnya memberikan penjelasan mengapakah tidak ada apa-apa tindakan diambil terhadap sembilan aduan mangsa keganasan oleh seorang wanita di Sungai Petani, Kedah.

Wanita itu merupakan mangsa penderaan dan keganasan rumah tangga yang dilakukan oleh suami sendiri serta ibu mertua dan adik ipar selama hampir 12 tahun.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Selangor (CASSA), Datuk Seri Dr Jacob George yang mengambil inisiatif mengetegahkan isu tersebut kepada umum berkata, pihaknya hairan bagaimana seseorang yang melakukan jenayah keganasan masih lagi ‘bebas’ tanpa apa-apa tindakan.

“Saya terkejut dan hairan. Mesti ada penjelasan tentang isu ini. Sudah ada empat laporan polis dibuat mangsa di Sungai Petani, empat lagi di sini tetapi langsung tidak ada apa-apa tindakan atau maklumbalas polis.

“Kekejaman yang berlaku terhadap wanita itu sebenarnya sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata, polis bertanggungjawab untuk bertindak dengan pantas,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut George, pihaknya telah mendapat pelbagai dokumen sokongan bagi mempertahankan kenyataan serta dakwaan wanita ini, CASSA akan menyerahkan semua bukti ini kepada Ketua Polis Negara bagi tindakan susulan.

“Antara dokumen yang ada pada kita pada masa ini termasuklah dari pakar psikiatari swasta dan juga kerajaan. Ini untuk membuktikan tuduhan keluarga suami kononnya mangsa mengalami sakit mental adalah tidak benar.

“Ada pernilaian komprehensif yang membuktikan mangsa tidak menderita sebarang gangguan mental mahupun dakwaan-dakwaan lain, kita perlu polis lebih tegas dan prihatin dengan kes ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Sudah lapan laporan polis dibuat, mangsa keganasan rumah tangga mahu keadilan buatnya

George mengulas pendedahan eksklusif MalaysiaGazette tentang seorang wanita dalam usia 30-an yang telah didera suami yang dikahwininya sejak 12 tahun lepas.

Wanita tersebut bukan sahaja diaibkan dan dilontarkan dengan kata-kata lucah saban hari sebaliknya juga dipukul, ditendang, diseret, dicekik, diludah penderaan fizikal dan mental malah pernah keguguran dua kali.

Bagaimanapun apabila mangsa nekad keluar daripada perkahwinan tersebut, sebanyak sembilan laporan polis berhubung serangan dan keganasan dialaminya namun tidak mendapat maklum balas pihak berkuasa.

Kata Dr George lagi, pihaknya cukup prihatin kerana ketika ini dua orang anak perempuan sulung dan kedua masih lagi dalam penjagaan suami mangsa yang juga digambarkan sebagai seorang yang panas baran dan pemarah.

“Jangan sehingga nasi menjadi bubur. Tolong siasat dengan terperinci agar wanita ini mendapat pengadilan yang sewajarnya. Ini juga akan memberi peluang kepada mangsa lain tampil menyelamatkan diri.

“Sebarang kelewatan atau kegagalan daripada pihak berkuasa dengan situasi kes-kes keganasan rumah tangga yang semakin meningkat di negara ini, hanya akan memburukkan keadaan dan menghantar mesej bahawa pelaku-pelaku keganasan rumah tangga tidak dapat disentuh. 

“Demi kepentingan umum, kita tidak boleh biarkan keadaan ini berterusan lagi-lagi apabila membabitkan isu keganasan yang rata-ratanya wanita tidak berdaya, hakikatnya trauma dan kekerasan ini tidak akan berakhir,” tegasnya. -MalaysiaGazette