KUALA LUMPUR – Wanita memakai gelang merah jambu membonceng motosikal yang tular di media sosial sebenarnya dalam perjalanan pulang dari Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Shah Alam untuk dikuarantin kendiri di rumahnya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, perkara itu dikesan pihaknya selepas menyiasat gambar yang tular di media sosial mempersoalkan tindakan wanita berkenaan.
“Kejadian dipercayai berlaku di Jalan PJU 8/1, Bandar Damansara Perdana ketika wanita berkenaan menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 bersama seorang lelaki.
“Siasatan awal polis mendapati, wanita itu menjalani ujian saringan Covid-19 di sebuah klinik di Kota Damansara kelmarin sebelum disahkan positif manakala lelaki yang menunggang motosikal bersamanya juga disahkan positif virus itu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, kedua-dua mereka telah hadir ke pusat CAC di Shah Alam sekitar jam 4 petang semalam sebelum menjalani proses penilaian selama dua jam.
Menurutnya, imej wanita itu yang memakai gelang merah jambu di tangan kirinya telah dirakam orang awam ketika dia membonceng motosikal dalam perjalanan pulang dari CAC Shah Alam menuju ke rumahnya.
“Wanita itu kini sedang menjalani kuarantin di rumah atas arahan dari pusat CAC Kementerian Kesihatan dan polis menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sewenang-wenangnya berhubung imej yang ditularkan itu tanpa memeriksa teliti kerana ia boleh mengundang pelbagai isu yang tidak sihat,” tegasnya.-MalaysiaGazette