SERDANG – Tepat pukul 8.15 pagi, bergema takbir raya di Dewan D, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu 2.0, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC Bersepadu MAEPS 2.0).
Ia dibaca bersama antara para petugas PKRC dan dalam kalangan pesakit Covid-19 yang beragama Islam
Meskipun tidak dapat meraikan Hari Raya Aidiladha dengan keluarga tercinta namun pesakit tidak melepaskan peluang untuk solat sunat bersama-sama.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, wajah sedih para pesakit tidak dapat dibendung apabila mengenangkan nasib berjauhan dengan keluarga pada hari mulia.
Namun, apakan daya, rata-rata mereka redha dengan nasib kerana perlu dirawat di PKRC berkenaan.
Warga emas antara golongan yang paling beremosi kerana tidak dapat bersama anak dan cucu kesayangan.
Siti Zaleha Uda, 69, meluahkan perasaannya yang bercampur baur memikirkan keluarganya yang berisiko dijangkiti Covid-19 selepas dirinya disahkan positif baru-baru ini.
Tidak cukup dengan itu, beliau sedih apabila memikirkan keadaan suaminya yang kini ‘ditidurkan’ di Hospital Universiti selepas didapati positif baru-baru ini.
“Memang rasa sedih, suami di hospital, saya di sini, anak-anak pun di rumah. Saya sabar sajalah menunggu bila masa balik rumah. Anak beritahu ayahnya ‘ditidurkan’ selepas 12 hari dirawat di hospital,” katanya.
Bagi Samsiah Safar, 61, beliau juga tidak dapat menahan perasaan sedih apabila kali pertama terpaksa berjauhan dengan anak dan cucu-cucu selepas dibawa ke PKRC sejak lima hari lalu.
Namun begitu, demi kesihatan dirinya dan tidak menjangkiti orang lain, beliau perlu sentiasa berfikiran positif supaya cepat bebas daripada Covid-19.
“Sedihlah tidak pernah berpisah dengan anak-anak cucu sebelum ini, tapi tuhan sudah tentukan begini, redhalah. Kesihatan saya di sini pun semakin baik,” tambahnya.
Berbeza dengan Abdul Aziz Basri,70, yang mahu kekal positif walaupun terpaksa ‘beraya’ di PKRC Serdang hari ini.
Baginya, pesakit Covid-19 di pusat kuarantin itu tidak perlu sedih kerana petugas Kementerian Kesihatan Malaysia amat memahami dan sentiasa berusaha untuk menceriakan mereka.
“Makanan di sini bagus, perkhidmatan sangat bagus. Saya rasa seronok pula daripada di kampung,” katanya.
Menurutnya, walalupun petugas KKM terpaksa bertugas pada hari raya sepanjang dua tahun ini namun mereka para petugas KKM mampu mengawal emosi mereka.
Bahkan petugas barisan hadapan itu, mampu untuk menggembirakan semua pesakit dan memberi layanan yang baik, katanya.- MalaysiaGazette