Home Nasional Ujian calitan berkala petugas PPV Sepang elak risiko Covid-19

Ujian calitan berkala petugas PPV Sepang elak risiko Covid-19

Pegawai Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid.

SEPANG – Para petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di sini akan dilibatkan dalam ujian calitan secara berkala bagi memastikan kesihatan dan keselamatan mereka sentiasa terjamin.

Pegawai Daerah Sepang, Mohamad Zain A. Hamid berkata, ia antara langkah efisien yang diatur pihaknya bagi memastikan para petugas terlibat dalam tugas program vaksinasi di enam PPV di daerah berkenaan selamat dan terlindung risiko jangkitan Covid-19.

Katanya, pihaknya baru-baru ini mengadakan perbincangan dengan Pejabat Kesihatan Daerah Sepang untuk melaksanakan ujian calitan Covid-19 ke atas para petugas PPV.

“Kita mungkin akan calit mereka pada hari-hari tertentu mungkin dua atau tiga minggu sekali swap mereka memastikan mereka bebas risiko jangkitan untuk selamat bertugas selain akan melakukan sanitasi di PPV setiap hari menjamin kebersihan dan kesihatan semua yang berurusan.

“Justeru, kita juga membuat saringan suhu ke atas setiap petugas PPV setiap hari sebelum masuk bertugas dan jika ada simptom atau demam mereka akan terus dihalang masukĀ  dan akan digantikan dengan petugas lain serta-merta,” katanya dalam sidang media meninjau operasi pemberian vaksin di PPV Movenpick KLIA hari ini.

Beliau mengulas demikian ketika ditantya mengenai insiden tujuh petugas PPV yang disahkan positif di PPV Pusat Konvensyen Antarbangsa Setia City (SCICC) Shah Alam baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Mohamad Zain berkata, pihaknya turutĀ  memantau rapat jumlah kehadiran orang mengambil vaksin ke PPV di daerah Sepang bagi mengelak berlaku kesesakan.

“Kita sudah ada pengamalan berdepan senario kesesakan pada awal pembukaan PPV di daerah ini dan belajar dari pengalaman itu memastikan semua individu yang hadir mengikut temu janji yang ditetapkan.

“Malah kita juga melaksanakan penyebaran info vaksinasi menerusi kaedah InfoBlast kepada mereka yang masih keliru dan tidak pasti tarikh dan waktu kehadirannya ke PPV.

‘Kita lakukan info blast dua hari sebelum hari temujanji seseorang individu bagi memastikan mereka datang tanpa masalah kesihatan demam atau simptom positif.

“Jika berlaku keadaan itu, kita akan terus membatalkan temu janji mereka dan memberikan tarikh temujanji pengambilan vaksin yang baharu,” ujarnya.-MalaysiaGazette