Home Seni Hidup Jeyendran sumbang 1, 600 kilogram daging untuk juadah Aidiladha

Jeyendran sumbang 1, 600 kilogram daging untuk juadah Aidiladha

Aktivis sosial, Datuk Seri Jeyenderan menyusun sumbangan sebanyak 1600 daging yang akan diberi kepada golongan yang terjejas sempena Hari Raya Aidil Adha di Flat Jalan Budiman 10, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 20 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Aktivis sosial dan dermawan, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy hari ini tampil menyumbang sebanyak 1,600 kilogram (kg) daging kepada golongan terjejas dan barisan hadapan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini.

Sebanyak 50 ekor kambing dan 600 ekor ayam telah disumbangkan di enam lokasi bagi tujuan juadah hari raya di sekitar Lembah Klang.

Sumbangan itu juga turut dihulur kepada golongan terjejas bukan Islam untuk tujuan yang sama.

Kata Jeyenderan yang juga pengasas syarikat perkapalan Maritime Network Sdn Bhd, beliau tersentuh dengan keadaan rata-rata rakyat yang berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya kekangan kewangan berikutan pandemik Covid-19.

Aktivis sosial, Datuk Seri Jeyenderan menyusun sumbangan sebanyak 1600 daging yang akan diberi kepada golongan yang terjejas sempena Hari Raya Aidil Adha di Flat Jalan Budiman 10, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 20 JULAI 2021.

“Saat ini negara benar-benar melalui satu fasa cukup sukar, masing-masing terdesak sehingga terpaksa mohon bantuan untuk sesuap nasi. Rata-rata mereka hidup dalam kesusahan, dulu ada kerja, ada duit hidup juga dalam keadaan baik.

“Tapi pandemik ini telah mengubah segalanya, saya sendiri beberapa hampir menitik airmata melihat penderitaan dan desakan kehidupan yang dilalui oleh rakyat di negara kita sendiri.

“Atas  dasar itu juga saya telah ambil inisiatif untuk sumbang daging korban untuk yang menyambutnya selain turut hulur daging ayam untuk yang bukan Islam.

”Kita beri daging 1,600 kg hari ini di enam lokasi termasuklah untuk golongan barisan hadapan, kita yang mampu kita bantu golongan yang memerlukan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian selepas sesi penyerahan daging kambing dan ayam kepada penduduk di pangsapuri Bandar Tun Razak, Cheras sebelum ke lokasi seterusnya di Selayang Baru Batu Caves.

Jeyenderan memberitahu, sambutan Aidiladha ini sebenarnya agak dekat di hatinya kerana ketika kecil, beliau duduk di kawasan pangsapuri kos rendah yang rata-ratanya jirannya beragama Islam.

“Ketika tiba sahaja hari raya puasa atau hari raya Aidiladha, memang meriah ketika itu. Walaupun semua yang tinggal di situ tidaklah kaya mana namun saling berkongsi. Memang meriah ketika itu, selalu dapat makanan dari jiran-jiran.

“Perasaan itu sungguh indah sekali, malah saya fasih bercakap dalam Bahasa Melayu kerana rata-rata kawan yang saya bergaul dan jiran tetangga kebanyakannya Melayu dan Islam.

Aktivis sosial, Datuk Seri Jeyenderan bergambar bersama sukarelawan sebelum menyampaikan sumbangan sebanyak 1600 daging kepada golongan yang terjejas sempena Hari Raya Aidil Adha di Flat Jalan Budiman 10, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 20 JULAI 2021.

“Itu juga sebab mengapa sambutan Aidiladha ini cukup penting buat saya, saya hendak memberi kepada golongan yang mungkin tidak berkemampuan lagi membeli daging untuk santapan lagi-lagi jika keluarga besar.

“Kehidupan saya yang lalu tidak menjadi penghalang kepada kejayaan hari ini tetapi pastinya pengalaman lepas tidak akan sesekali dilupakan apatah lagi negara Sedna berdepan dengan Covid-19.

“Rakyat kita, saudara kita, kenalan kita, jiran tetangga sedang susah sudah tiba masanya yang berkemampuan untuk tampil memberi dan bersedekah,” ujarnya. -MalaysiaGazette