Home Nasional Rindu suasana ibadah korban sebelum Covid-19 – Jemaah masjid

Rindu suasana ibadah korban sebelum Covid-19 – Jemaah masjid

Asisten Superintendan Nor Faizal Mohd melakukan pemantauan SOP di Masjid Pajak Song, Kepala Batas hari ini.

KEPALA BATAS – “Rindu suasana pelaksanaan ibadah korban yang meriah dengan ahli jemaah serta kanak-kanak pada tahun sebelum ini”.

Itu luahan Mansor Mat Isa, jemaah Masjid Ibadurrahman di sini yang merupakan petugas pelaksanaan ibadah korban sebanyak lima ekor lembu hari ini.

Mansor.

Menurut Mansor, sejak pembukaan masjid itu tiga tahun lalu ini merupakan kali pertama suasana masjid agak sunyi selain petugas yang dibenarkan saja boleh melakukan kerja-kerja penyembelihan dan agih daging korban.

“Saya rasa sedih bila kenang suasana lama dengan keadaan sekarang. Dulu ramai orang berpusu-pusu mengambil peluang untuk melakukan ibadah korban ditambah pula dengan kehadiran kanak-kanak yang akan memeriahkan lagi suasana.

“Bagaimanapun, sebagai ahli jemaah masjid saya tetap bersyukur pelaksanaan ibadah korban masih dibenarkan dalam keadaan negara sedang bergelut memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Petugas pelaksanaan ibadah korban sedang melapah kulit lembu di Masjid Ibadurrahman, Kepala Batas di sini hari ini.

“Harap-harap tahun 2021 ini merupakan tahun terakhir kita sambut raya Aidiladha begini, moga semua orang patuh peraturan kerajaan untuk memastikan tiada jangkitan kes Covid-19 dalam negara,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Menurut pengerusi masjid tersebut, Sayuthi Ibrahim, pelaksanaan ibadah korban dilakukan tidak gah berbanding tahun sebelum ini namun pihak masjid cuba membangkitkan suasana tersebut.

“Kita ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar tidak berlaku sebarang insiden yang boleh mencemari pelaksanaan ibadah korban kali ini.

“Sebanyak 10 ekor lembu dikorban tahun ini dan kita bahagikan lima ekor setiap hari mengikut peraturan ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.

“Agihan pula, akan dibuat oleh petugas yang dilantik kepada golongan asnaf yang dikenal pasti agar semua mereka dapat menikmati daging korban ini,” kata Sayuthi.

Noorzainy.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) , Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sebanyak 46 masjid, surau serta pusat penyembelihan di sekitar daerah SPU terlibat dalam menguruskan ibadah korban tahun ini.

“Berdasarkan pemantauan hari pertama kita lihat semua petugas di masjid, surau dan pusat penyembelihan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kita harap semua pihak terus mengikut peraturan yang ditetapkan untuk menguruskan ibadah korban yang dijadualkan sehingga Jumaat ini,” ujar beliau.

Petugas Masjid Pajak Song, Kepala Batas menarik lembu untuk pelaksana ibadah korban hari ini.

Pemantauan SOP itu turut disertai pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna KPDNHEP.

Sebelum ini, JHEAIPP menetapkan seramai 25 petugas yang mengurus ibadah korban di masjid, surau dan rumah penyembelihan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan swasta.

Petugas berkenaan mestilah warganegara Malaysia berusia 21 hingga 60 tahun yang mahir melakukan ibadah korban selain memakai apron, pelitup muka dan sarung tangan.

Di masjid, jumlah sembelihan lembu, kerbau dan unta ialah 10 ekor dan 20 ekor kambing manakala jumlah sembelihan di surau pula ditetapkan lima ekor bagi lembu, kerbau dan unta serta 10 ekor kambing. – MalaysiaGazette