SEJAK dari awal permulaan Covid-19 pandemik, perkataan perang atau memerangi tidak pernah lengkang dari kata-kata atau ucapan masyarakat terutama pemimpin negara dan media yang banyak mempengaruhi dan memberi informasi kepada masyakarat.Perangi Covid-19 dan kita pasti menang. Adakah Covid-19 ini harus diperangi atau ditangani? Mari kita ulas dan imbas perkara berkaitan perang dan Covid-19 selama ini.
Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, perang didefinasikan sebagai perkelahian (pertempuran dan lain-lain) dengan menggunakan senjata antara negeri dengan negeri atau perbuatan beradu tenaga, pergaduhan atau perjuangan. Sekiranya diperincikan, perang biologi adalah perang yang menggunakan virus atau kuman penyakit untuk memusnahkan manusia atau tanaman.
Manakala perang kimia pula menggunakan bahan kimia seperti gas beracun sebagai senjata. Jika dilihat kepada definasi ini, secara amnya, perang melibatkan dua pihak yang berlawanan dan berniat melemahkan atau menghancurkan pihak musuh. Siapakan musuh yang dimaksudkan?
Virus yang pertama kali di temui di Wuhan, China pada hujung tahun 2019 telah menggegarkan dunia apabila ianya merebak dengan cepat di seluruh negara. Pertubuhan Kesihatan Sedunia merekodkan bilangan jangkitan melebihi 180 juta dengan angka kematian menghampiri 4 juta. Malaysia sendiri telah merekodkan angka kes keseluruhan melebihi 700 ribu dengan angka kematian melebihi 5,000 orang. Asal usul virus ini sebenarnya masih tidak diketahui.
Virus yang halus ini mampu menyebabkan seseorang menderita dan sekiranya gejala yang dihadapinya serius, ianya boleh mengakibatkan kematian. Virus ini tidak hanya menganggu kesihatan badan individu dan kestabilan ekonomi negara, malah turut mengakibatkan ketidakstabilan sosial, mental dan ekonomi individu dan keluarga.
Jika benar virus ini musuh yang dihantar oleh pasukan lawan, siapakah pasukan lawan ini yang cuba memerangi seluruh negara di dunia ini. Mengapa musuh tersebut tidak kita lawan untuk menghentikan penghantaran atau jangkitan virus ini? Mengapa virus ini harus kita perangi sedangkan ia tidak mempunyai senjata untuk berlawan. Adakah kita perlu melawan dengan Penciptanya?
Virus ini merupakan kuman yang sangat halus yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Virus ini memerlukan perumah untuk membiak dan seterusnya dengan kehadirannya boleh menyebabkan penyakit kepada perumah tersebut seperti manusia, haiwan ataupun tumbuhan. Perkataan virus juga digunakan kepada perisai komputer, iaitu apabila komputer ini dicerobohi virus ianya akan menganggu, merosak, mengubah atau memusnahkan maklumat yang berada di dalam komputer tersebut.
Di dalam kedua-dua penjelasan di atas, adakah kita perangi virus di dalam tumbuhan dan komputer tersebut? Disini kita cuba menangani dengan usaha untuk menyelamatkan tanaman dan membina sistem pertahanan di dalam komputer tersebut. Oleh itu sudah tiba masanya kita melihat semula penggunaaan perkataan perang dengan Covid-19 ini.
Benarkah virus Covid-19 musuh yang harus diperangi atau ditangani? Persoalannya lagi adakah virus ini musuh atau ujian dari Penciptanya? Oleh itu tiada juga istilah menang atau kalah dalam menangani pandemic Covid-19 ini.
Bersama-samalah kita muhasabah diri kerana virus Covid-19 ini bukan sekadar jangkitan tetapi ujian dari Allah. Pandemik ini menguji iman, kesabaran serta keyakinan kita kepada maha Pencipta. Kita bertanggungjawab dalam menjaga diri dan mereka yang kita sayangi dan mereka yang berada disekeliling kita. Patuhilah arahan pihak berkuasa dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan serta dapatkanlah vaksin sebagai salah satu langkah melindungi diri. Janganlah kita menjadi penyebab kepada kesusahan dan kesakitan orang lain.
Oleh itu daftar dan dapatkanlah vaksin dengan segera. Program vaksin yang dijalankan oleh kerajaan adalah untuk memastikan negara mencapai immuniti kelompok. Malah baru-baru ini, Amerika Syarikat telah menyumbangkan sebanyak satu juta dos vaksin jenis Pfizer-BopNtech kepada negara ini sebagai salah satu langkah global untuk mencapai segera immuniti kelompok bagi menangani pandemik ini, serta membantu negara pulih dan bangun semula akibat kesan dari pandemik ini. Maka janganlah kita tergolong dikalangan individu yang anti-vaksin.
Melihat kepada situasi semasa, banyak negara telah dilihat mencapai imuniti kelompok dan mula bebas dari kekangan dan kesan pandemik ini. Immuniti kelompok terbukti dapat menurunkan kadar jangkitan yang serius. Selain pengurangan pada kadar jangkitan, vaksin juga telah menunjukkan penurunan kadar kematian dan kemasukkan hospital. SOP dan vaksinasi merupakan usaha atau ikhtiar untuk kita melindungi diri dan membina sistem pertahanan badan bagi mencegah virus Covid-19 ini dari menjangkiti. Sebagai hamba Allah kita hendaklah berusaha dan berikhtiar dengan bersungguh-sungguh agar jangkitan ini dapat dihindari dan ditangani. Seterusnya barulah kita berserah atau bertawakal kepadaNya. Allah berfirman …Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum hingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri… (Ar-Ra’d:11).
Namun begitu, dalam usaha menangi virus ini, nitizen sering dipersalahkan dengan tidak mematuhi SOP ini. Mengapa perlu wujud budaya salah menyalah ini? SOP merupakan satu norma kehidupan yang baru, melangkaui batas dan budaya yang selama ini diamalkan. Untuk menjadikan SOP ini sebagai budaya masyarakat atau norma hidup baru, ianya tidak semudah yang dijangkakan. Pelbagai pihak perlu mengembeling tenaga mendidik, memberi informasi dan kesedaran serta mengingatkan masyarakat
akan kepentingan mematuhi SOP ini tanpa rasa jemu demi kebaikan bersama.
Firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nahl Ayat 125 bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk”. Bersamalah kita saling ingat-mengingati dan berdoa di dalam kita menangani maslahah Covid-19 dengan hikmah dan muhasabah diri sendiri agar musibah ini dapat diangkat segera oleh Penciptanya.
Penulis:
Professor Madya Dr Normaliza Ab Malik
Fakulti Pergigian
Universiti Sains Islam Malaysia