BARU-baru ini tular video yang menunjukkan peningkatan trafik di tol Bentong menghala ke Pantai Timur menjelang Hari Raya Aidiladha. Laporan Kosmo! dan Harian Metro juga
mengesahkan peningkatan trafik pulang ke Kelantan. Hal ini memaksa kita untuk berbincang, kerajaan gagal atau rakyat gagal?
Sebelum berbincang tentang sama ada kerajaan gagal atau tidak, kita harus faham tugas hakiki kerajaan, iaitu untuk mewujudkan sistem agar masyarakat dapat bergerak ke hadapan melalui pembikinan dan penguatkuasaan undang-undang dan polisi. Dalam isu Covid-19 ini pula, kerajaan haruslah membuat polisi yang baik untuk memandu
rakyat keluar daripada wabak ini. Setelah hampir setahun setengah bergelut dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pelbagai, dan setelah lebih 5 bulan Darurat, keluarlah Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Jun 2021.
Namun, pelan ini hanya mempunyai nilai-nilai ambang yang menunjukkan peralihan fasa-fasa daripada fasa 1 hingga fasa 4. Strategi kerajaan untuk capai nilai-nilai tersebut tidak dinyatakan secara spesifik. Atas sebab itu, walaupun ketika pelancaran PPN, fasa 1 yang diunjurkan untuk tamat pada awal Julai kita tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda untuk mencecah nilai ambang.
Bahkan, sejak pertengahan bulan Jun, sehingga kini, R0 kita sentiasa meningkat walaupun PKP3.0 telah dilakukan sejak awal Jun, dan PKPD di beberapa kawasan sejak awal Julai. Bukan sahaja itu, kadar positif (positivity rate) kita hampir mencecah 10%, bermaksud jika kita saring 10 orang, terdapat satu orang yang positif. Angka ini amat jauh dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) iaitu bawah 5%.
Apakah punca peningkatan kes ini selain penularan varian Delta yang bukanlah faktor dalam kawalan kerajaan mahupun rakyat? Menurut Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sejak 3 Mei 2021 lagi, salah satu punca peningkatan kes ialah kelesuan pandemik (pandemic fatigue). Namun, sejak kenyataan KPK, masih tiada tindakan yang signifikan daripada kerajaan untuk menangani kelesuan pandemik. Sedangkan, WHO telah pun mengeluarkan garis panduan untuk negara-negara menghadapi kelesuan pandemik.
Terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kelesuan pandemik.
1. Defisit kepercayaan terhadap kerajaan. Salah satu punca kelesuan pandemik ialah penetapan prosedur operasi piawai (SOP) berkenaan PKP yang tidak konsisten. Contoh terbaharu ialah pengumuman penamatan PKPD di 34 mukim di Selangor meskipun bilangan kes harian di Selangor semakin meningkat. Begitu juga dengan pembukaan masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 8 Julai 2021, ketika kes sedang meningkat saban hari, masjid diumumkan buka.
Persoalannya, apakah formula kerajaan dalam menimbang keperluan dan risiko ketika
menentukan SOP-SOP ini? Ketiadaan penjelasan yang telus daripada kerajaan berkenaan data yang digunakan untuk menjustifikasi SOP-SOP ini menyebabkan rakyat mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan ini berdasarkan bukti dan data atau dilakukan secara semberono.
Menyebut tentang ketelusan data, kerajaan juga pernah dikritik oleh pakar-pakar dalam negara. Akademi Perubatan Malaysia (AMM), sebuah persatuan yang menghimpunkan pakar-pakar perubatan dalam negara, juga pernah mempersoalkan keengganan kerajaan membuat perkongsian data secara telus melalui kenyataannya pada 10 November 2020. Namun, tiada tindakan susulan yang signifikan daripada kerajaan.
Ini bukan satu-satunya masa kerajaan mengabaikan saranan pakar. Pada 3 Mei 2021, AMM juga mengeluarkan kenyataan menyatakan bahawa setelah setahun pandemik, bilangan ujian saringan Covid-19 masih rendah. AMM menyarankan kerajaan untuk melakukan protokol ‘find, test, trace, isolate, and support’ (FTTIS) yang automatik dan berintegrasi dengan aplikasi MySejahtera.
Hal ini juga pernah disuarakan oleh pakar-pakar sejak tahun lepas. Namun,
sehingga kini, pengesanan kontak rapat masih dilakukan secara manual yang tentunya kurang cekap untuk membendung wabak ini. Selain itu, pakar-pakar dalam negara juga sudah mencadangkan perkara penggunaan pelitup muka berganda seawal bulan Februari 2021.
Malangnya, langkah itu hanya disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada rakyat Malaysia pada bulan Mei 2021, setelah bilangan kes melonjak naik.
Bukan sahaja saranan pakar, titah Yang Di-Pertuan Agong (YPDA) juga dilihat sebagai tidak dilaksanakan oleh kerajaan. Khasnya titah baginda pada 16 Jun 2021, bahawa “persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin” untuk “membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.”
Namun, apabila takwim parlimen penggal ketiga, parlimen ke-14 (2021) dikeluarkan, tiada perbahasan dijadualkan. Sebaliknya, persidangan selama 5 hari tersebut hanya mengandungi “penerangan daripada menteri-menteri”.
Di samping itu, kegagalan pemimpin-pemimpin negara dalam menjadi teladan yang baik dalam pematuhan SOP juga menyebabkan kelesuan pandemik. Hal ini diakui sendiri oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, yang mengatakan bahawa menteri-menteri yang melanggar SOP merupakan salah satu faktor defisit kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan Sekatan Pergerakan Penuh.
Keadaan menjadi lebih parah apabila pemegang akaun media sosial KKM melakukan ralat-ralat seperti kekeliruan yang timbul pada 8 Julai 2021 akibat KKM melabelkan gambar sebenar kesesakan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Stadium Malawati, Shah Alam sebagai palsu.
2. Keterdesakan ekonomi dan penghakisanmotivasi menghadapi pandemik.
Selain isu defisit kepercayaan, isu keterdesakan ekonomi dan penghakisan motivasi juga
menyumbang kepada kelesuan pandemik. Kata Perdana Menteri, kita akan beralih ke Fasa 2 PPN apabila nilai ambang tercapai. Dalam keadaan semasa, kita bergerak semakin jauh daripada nilai ambang. Hal ini memburukkan lagi kelesuan pandemik rakyat kerana rakyat tidak dapat melihat cahaya di hujung terowong, tidak tahu bahkan tidak boleh mengagak tempoh fasa 1 ini diadakan.
Atas ketidakpastian ini juga, perniagaan-perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi semasa fasa 1 tidak dapat merancang perniagaan mereka dengan baik. Disebabkan itu, banyak perniagaan menutup terus kedai mereka, seterusnya menerukkan lagi krisis pengangguran di Malaysia.
Bagi perniagaan-perniagaan yang cukup bernasib baik untuk dibenarkan beroperasi ketika fasa 1, timbul pula dilema tentang jika ada pekerja yang positif. Jika hendak kuarantinkan semua yang kontak rapat, berkemungkinan satu syif akan dikuarantin. Hal ini mampu melumpuhkan terus operasi perniagaan tersebut.
Daripada sudut pandang pekerja yang kebanyakannya dibayar per hari, kalau perniagaan
tersebut tutup, mereka akan hilang mata pencarian. Maka mereka pun bekerjalah kerana risiko Covid-19 pada mereka, lebih mudah dihadapi berbanding kehilangan mata pencarian dan risiko kebuluran.
Belum lagi membincangkan tentang pelajar-pelajar dan mahasiswa-mahasiswa yang amat
tertekan dengan pembelajaran dalam talian yang berpanjangan, serta isu murid cicir dan
sebagainya.
Akhir sekali, defisit kepercayaan terhadap kerajaan serta tekanan keterdesakan hidup ini
menyebabkan kelesuan pandemik. Natijahnya, rakyat menjadi acuh tak acuh terhadap SOP. Tindak tanduk rakyat akan dipengaruhi secara langsung oleh polisi-polisi kerajaan. Maka, jika rakyat gagal, ia adalah bukti kerajaan gagal.
Sebagai pihak yang berautoriti, kerajaan harus mendapatkan kepercayaan rakyat. Bagaimana? Mulakan dengan membuat sebarang tindakan mahupun polisi berasaskan data dan sains. Dengar saranan pakar. Ikut garis panduan menangani kelesuan pandemik yang dikeluarkan oleh WHO. Melalui usaha-usaha ini, lebih mudah jalan Malaysia untuk keluar daripada mendung hitam pandemik ini.
Azhari Azizi
Aktivis
Persatuan Belia Harmoni Malaysia